Pelaburan RM160 bilion India baik tapi Putrajaya perlu telus, kata Ideas

Adli-AmirullahKUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyambut baik kejayaan Malaysia menarik pelaburan dianggarkan RM160 bilion dari India baru-baru ini tetapi mahu kepimpinan Datuk Seri Najib Razak lebih telus dengan menyediakan butiran mengenai pelaksanaan kerjasama dua hala itu.

Bercakap kepada FMT, pakar ekonomi Ideas, Adli Amirullah berkata, tawaran perdagangan dengan India adalah baik untuk Malaysia terutama apabila ia dilihat akan melabur RM142 bilion di negara ini.

“Di antara 2014 dan 2015, perdagangan kita dengan India menurun sebanyak 25%, jadi tawaran baru adalah 1 perkembangan yang positif.”

Katanya, pelaburan itu akan memberi manfaat, terutamanya kepada sektor minyak dan gas, perkilangan infrastruktur dan kejuruteraan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Adli berkata, kejatuhan harga minyak global telah memperlahankan pertumbuhan industri minyak dan gas Malaysia manakala menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016, pertumbuhan sektor infrastruktur dan pembuatan juga turun dalam tempoh dua tahun lepas.

“Tawaran yang kita meterai dengan India akan membantu industri-industri ini dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.”

Bagaimanapun kata beliau, apa yang penting perlu ada elemen ketelusan dalam aspek ini.

“Kerajaan perlu telus dengan butiran tawaran serta pelaksanaan tawaran.”

Adli berkata, ini penting untuk mengelakkan ketirisan, pembaziran atau rasuah, terutama dalam perjanjian membangunkan sebuah bandar maritim bersepadu di Pulau Carey.

Perjanjian antara MMC Port Holdings Sdn Bhd, Sime Darby Property Bhd, dan Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd (India) untuk pembangunan maritim dianggarkan bernilai RM100.23 bilion.

MMC Port Holdings dan Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd (India) juga menandatangani perjanjian untuk membina sebuah pelabuhan RM41.43 bilion, juga di Pulau Carey.

Laporan sebelum ini menyebut Lembaga Pelabuhan Klang merancang untuk membina pelabuhan gergasi bernilai kira-kira RM200 bilion di Pulau Carey. Difahamkan China, yang turut melaksanakan projek-projek infrastruktur yang besar di Malaysia seperti Rangkaian Rel Pantai Timur, berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan.

Adli berkata, tawaran India menunjukkan Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka, tidak terlalu bergantung kepada China.

“Walaupun tanpa China, kita boleh hidup. Kita mempunyai rakan sekerja yang lain tetapi sudah tentu tanpa China, pertumbuhan kita pasti akan menjadi lebih perlahan.”

Sehingga Disember 2016, India adalah pelabur ke-9 terbesar di Malaysia dengan pelaburan bernilai kira-kira AS$300 juta (RM1.33 bilion) manakala Malaysia merupakan sumber terbesar ke-25 pelaburan di India dengan AS$829 juta pelaburan.

Pada 4 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan lawatan kerjanya ke India baru-baru ini sebagai satu anjakan paradigma yang diperlukan oleh kedua-dua negara dalam merealisasikan potensi masing-masing.

“Alhamdulillah, lawatan kerja saya ke India telah selesai semalam (4 April) dan saya percaya kita telah memasuki lembaran baru dalam hubungan dua hala dengan kerajaan India kepada lebih strategik dan komprehensif,” kata beliau.

Beliau berkata, banyak yang telah dicapai sambil berkongsi tiga kejayaan utama delegasi Malaysia sepanjang berada di India.

Pertama, Malaysia telah berjaya menandatangani 31 memorandum persefahaman (MoU) perniagaan kepada perniagaan (B2B) dengan jumlah pelaburan bernilai RM158.4 bilion (AS$36 bilion) termasuk AS$32 bilion projek dan pelaburan di Malaysia manakala hubungan ekonomi antara kerajaan Malaysia dan India juga memasuki fasa baru dengan 6 MoU dan 1 perjanjian (G-to-G) yang membuka ruang ke arah peningkatan ekonomi antara kedua-dua negara telah dimeterai.

Antara MoU yang telah ditandatangani ialah cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan ammonia di Malaysia serta pembelian lebihan urea dari Malaysia ke India.

Kejayaan ke-3 yang dicapai ialah persetujuan perdana menteri India untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, pertahanan dan keamanan dengan menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 dari Malaysia dan sebagai timbal balas, Malaysia akan menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/01/najib-disambut-modi-yakin-kukuh-hubungan-malaysia-india/