SPRM perlu aktif kongsi maklumat jika mahu rakyat proaktif, kata C4

cynthia-gabriel_pekarja_sprm_600

GOMBAK: Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kelihatan agresif membanteras kes rasuah kebelakangan ini, memberi lebih banyak maklumat mengenai individu-individu penting seperti kakitangan awam yang terlibat dalam rasuah.

Pengasas Pusat C4, Cynthia Gabriel berkata, langkah itu penting dalam meningkatkan kesedaran dan inisiatif rakyat untuk lebih proaktif termasuk menjadi “mata dan telinga” SPRM.

“Kita sokong tindakan SPRM membersihkan isu rasuah terutama dalam kalangan kakitangan awam. Tetapi, kita mahu pujuk SPRM memberi lebih banyak maklumat kepada orang ramai setakat mana yang boleh.

“Ini supaya rakyat juga boleh menjadi mata dan telinga dalam perkara yang berlaku dan lebih sensitif kepada isu salah guna kuasa (rasuah) dan pembaziran.

“Buat masa ini, maklumat daripada SPRM sangat kurang dan kita hanya tahu siapa yang ditangkap dan kita tidak tahu apa yang berlaku sehingga mereka membuat keputusan membawa kes ke mahkamah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPRM yang menumpukan perhatian terhadap penjawat awam terbabit dalam amalan rasuah kebelakangan ini.

Selain penjawat awam, Cynthia juga berharap SPRM tidak berdepan sebarang sekatan dalam menyiasat salah laku pemimpin politik yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

Kata beliau, tidak ada sesiapa pun yang melakukan kesalahan boleh bersembunyi di belakang undang-undang.

SPRM, sejak akhir tahun lalu, kelihatan sangat agresif dalam menangkap dan menahan kes-kes besar melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli politik dan mereka yang memegang gelaran Tan Sri.

Ini termasuklah bekas naib presiden MIC yang ditahan minggu ini dan seorang lagi yang memiliki gelaran Tan Sri, yang didakwa cuba menawarkan RM2 juta kepada Sultan Johor untuk mendapatkan darjah kebesaran Tan Sri.