Timbalan menteri: Tangguh bahas MP cukup masa nilai RUU 355

Asyraf-Wajdi_law_600

MELAKA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua ahli Parlimen mempunyai masa yang mencukupi bagi mengkaji dan menilai usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kelmarin.

Kata beliau, keputusan menangguhkan sesi perbahasan sehingga sidang akan datang, akhir Julai ini memberi peluang kepada anggota Dewan Rakyat untuk membuat keputusan dan pendirian berkenaan usul RUU 355.

“Apabila RUU 355 ini ditangguh pada sesi akan datang, ia memberi satu isyarat bahawa speaker memberikan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen pelbagai parti untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau menolak,” kata beliau dipetik Bernama.

Menurut beliau, sekiranya dipersetujui ia akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi proses seterusnya kerana RUU 355 adalah di bawah bidang kerajaan dan bukannya milik individu atau parti politik.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Melaka di sini.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan RUU 355 kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan, keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperuntukkan lebih RM21.5 juta untuk pembayaran elaun kepada imam, guru takmir, bilal, siak dan guru Kelas al-Quran serta guru Fardu Ain di Melaka pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM15.87 juta diperuntukkan untuk pembayaran imbuhan guru KAFA, RM4.08 juta (imam) dan guru takmir (RM1.56 juta).

Beliau berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2017 Oktober tahun lepas.

Sebanyak RM149,500 diperuntukkan bagi membayar imbuhan bilal dan siak iaitu masing-masing berjumlah RM75,500 melibatkan 151 bilal dan RM74,000 melibatkan 148 siak.