48 penerbangan batal, operasi Lapangan Terbang Sibu pulih 8 malam ini

 

sibu-airport-2SIBU: Sebanyak 48 penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu pada hari ini dibatalkan berikutan kejadian pesawat MH2718 Malaysia Airlines tergelincir dari landasan malam tadi.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, daripada jumlah itu, 28 penerbangan adalah MASwings, 16 penerbangan AirAsia dan 4 penerbangan Malaysia Airlines.

Menurutnya, penerbangan itu melibatkan destinasi Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Bintulu, Miri dan Kuching.

Jumlah keseluruhan penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan
tersebut ialah 3,787 orang.

“Syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat telah membuat keputusan membatalkan penerbangan mereka.

“Kita jangka operasi di Lapangan Terbang Sibu akan kembali seperti biasa jam 8 malam nanti sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengalihkan pesawat,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Zainuddin berkata, pasukan penyiasat daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, akan tiba di Sibu hari ini untuk menjalankan siasatan kejadian itu.

Mereka menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu dan seterusnya bergerak ke Sibu menggunakan jalan darat dan dijangka tiba di lapangan terbang kira-kira jam 3 petang ini.

“Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, mereka akan membuat penilaian terhadap kejadian dan menentukan kaedah untuk mengalih pesawat tersebut dari landasan manakala operasi di Lapangan Terbang Sibu dijangka berjalan seperti biasa pada jam 8 malam ini,” katanya.

Zainuddin berkata, peralatan khas untuk mengalihkan pesawat tersebut yang dibawa dari Kuching menggunakan jalan darat dijangka tiba kira-kira 6 petang ini.

“Setakat ini tiada aktiviti mendarat atau berlepas melibatkan pesawat penumpang dibenarkan di Lapangan Terbang Sibu sehinggalah kerja-kerja mengalihkan pesawat MH2718 itu selesai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, helikopter boleh membuat pendaratan kerana tidak memerlukan landasan.

Punca sebenar pesawat itu tergelincir semasa membuat pendaratan belum dapat dikenal pasti sehinggalah siasatan secara menyeluruh selesai, kata Zainuddin.

Pesawat jenis Boeing 737-800 yang tiba dari Kuala Lumpur itu tergelincir dari landasan ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat pada 10.17 malam tadi.

Sejumlah 61 penumpang dan 6 anak kapal terpaksa turun dari pesawat itu menerusi dua rakit gelongsor dan kemudiannya dibawa ke balai kecemasan. Tiada kecederaan dilaporkan.

Seorang penumpang yang enggan dikenali memberitahu pemberita malam tadi bahawa pesawat itu berhadapan dengan cuaca buruk sehingga memaksa juruterbang berlegar-legar di udara selama setengah jam.

Menurut penumpang itu, juruterbang cuba mendarat pada 10 malam namun gagal dan ketika membuat pendaratan kali ke-2, beliau merasakan gear pendaratan mengalami kerosakan apabila pesawat menyentuh landasan.

Gambar-gambar pesawat itu yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan ia seolah-olah mendarat tanpa menggunakan gear pendaratan (depan dan belakang) dengan bahagian perut pesawat menyentuh landasan.