Ambiga: Jika tindakan Pastor Koh salah, heret dia ke mahkamah

ambiga

KUALA LUMPUR: Tidak kira apa yang Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain seperti beliau lakukan, mereka tidak wajar diculik tanpa sebarang penjelasan.

“Adakah mereka pengganas bersenjata? Tidak. Mereka hanya orang biasa yang membantu dan melakukan kerja luar biasa bagi orang miskin dan memerlukan,” kata Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Sudah tentu ada banyak dakwaan (berhubung kehilangan mereka). Jika anda kata mereka sudah lakukan kesalahan, dakwalah mereka.

“Jika sesiapa melakukan apa-apa yang haram, mereka perlu didakwa dan dibawa ke muka pengadilan, tidak kira betapa anda tidak suka apa yang mereka lakukan,” katanya pada perhimpunan “Di mana mereka?” anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi menunjukkan solidariti bersama keluarga 4 mangsa hilang di Dataran Merdeka, malam tadi.

Empat individu itu ialah Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka berempat.

Isteri Koh, Susanna Liew yang turut menghadiri perhimpunan malam tadi berkata, beliau sedih dan kecewa pihak berkuasa serta sesetengah orang sedang menyiasat suaminya, bukan mencari penculiknya.

“Tidak kira apa yang 4 orang ini sudah lakukan, mereka tidak boleh diculik pada siang hari. Tidak ada kewajaran untuknya, tiada alasan.

“Jadi, kami meminta anda terus menyokong dan berdoa untuk mereka dan kita akan lihat pengakhiran yang baik.”

Kira-kira 150 orang hadir memberi sokongan kepada 4 individu itu. Mereka menyalakan lilin dan berdiri dalam hujan sambil mendengar setiap ucapan disampaikan dalam majlis berkenaan.

Pemimpin pembangkang, Tian Chua, Teresa Kok dan Dr Dzulkefly Ahmad turut hadir memberi sokongan kepada mangsa.

Majlis itu berlangsung selama sejam dan berakhir dengan hadirin menyanyikan lagu patriotik “Sejahtera Malaysia”.

Koh dan NGO beliau, Harapan Komuniti didakwa memurtadkan umat Islam, susulan satu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada sebuah majlis makan malam kesyukuran pada 2011.

Lelaki berusia 62 tahun itu diculik sekumpulan lelaki bertopeng yang menghalang kereta Honda Accord miliknya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu. Rakaman CCTV menunjukkan penculikan Koh membabitkan lebih 10 lelaki yang menaiki 3 SUV hitam pada waktu siang.

Hilmy yang dahulunya seorang umat Islam, dilaporkan hilang pada 30 November 2016.

Amri pula dilaporkan hilang pada malam 24 November 2016, dan isterinya, Norhayati Ariffin ketika membuat laporan polis pada hari berikutnya berkata, ada kereta dan basikal yang diletakkan berhampiran rumah mereka apabila Amri meninggalkan rumah.

Ada dakwaan mengatakan Amri ialah pengikut Syiah dan cuba menyebarkan mazhab Syiah kepada orang lain. Isterinya bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata “semua karut”.

Aktivis yang bertapak di Perlis, Amri Che Mat, 43, sudah hilang 4 bulan, dan antara spekulasi di sebalik penculikan itu ialah beliau menyebarkan mazhab Syiah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/08/hilang-tanpa-khabar-nasib-amri-seperti-pastor-koh/