Kahwin bawah umur: Kebajikan faktor penting mahkamah beri kebenaran

Datuk-Ismail-Yahya

PETALING JAYA: Kebajikan kanak-kanak menjadi pertimbangan utama Mahkamah Syariah dalam mengkaji kebaikan dan keburukan perkahwinan membabitkan pengantin perempuan bawah umur, kata seorang bekas hakim.

“Sebagai contoh, mahkamah perlu mengambil kira sama ada bakal suami dapat membuatkan isterinya gembira dan adakah dia akan dijaga dengan baik,” kata bekas ketua hakim Mahkamah Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya kepada FMT.

“Mahkamah juga akan tanya bakal pengantin perempuan dan lelaki sama ada mereka sedar tanggungjawab mereka selepas berkahwin.”

Ismail berkata, mahkamah tidak akan memberi kelulusan jika remaja terbabit kelihatan keliru apabila ditanya mengenai tanggungjawab perkahwinan.

Katanya, beliau pernah meminta seorang gadis berusia 15 tahun menunggu sehingga dia berusia 16 tahun untuk berkahwin.

Di bawah enakmen syariah negeri, wanita Islam cukup umur pada usia 16 tahun.

Ismail berkata, penghakiman bertulis untuk permohonan perkahwinan tidak diterbitkan dalam jurnal undang-undang seperti Jurnal Undang-undang Semasa Malaysia dan Jurnal Undang-undang Malaya.

“Permohonan ini membabitkan kanak-kanak dan kami tidak mengumumkan keputusan kepada orang ramai,” kata beliau sambil menambah, permohonan didengar dalam kamar, bukannya mahkamah terbuka.

Sementara itu, pegawai undang-undang Sisters in Islam, Andi Suraidah berkata, organisasinya mendapati sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai cara hakim membuat penghakiman terhadap permohonan perkahwinan.

“Kami sudah menulis surat kepada Jabatan Kehakiman Syariah untuk mendapatkan statistik tentang bilangan perkahwinan diluluskan, tetapi kami tidak mendapat sebarang maklum balas. Jadi, ia adalah sukar bagi kita untuk mengenal pasti masalah dalam perkahwinan kanak-kanak.”

Andi berkata, ada mendakwa kanak-kanak tidak hadir ke mahkamah untuk memberitahu pendapat mereka kepada hakim.

“Kanak-kanak harus mempunyai hak untuk didengari dan ibu bapa mereka tidak sepatutnya menjadi orang yang memberi keterangan,” katanya.

Isu perkahwinan kanak-kanak kembali hangat susulan kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat pada Selasa lalu yang tidak salah untuk mangsa berkahwin dengan perogolnya.

Beliau berkata, mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap dan sesetengah gadis bawah 16 tahun memiliki gaya hidup liar dan keluarga mendapati sukar mengawal mereka.

Bagaimanapun, Shabudin keesokannya berkata, kenyataannya dipetik di luar konteks.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/ahli-parlimen-umno-mungkin-masa-depan-gelap-kalau-perogol-mangsa-tak-berkahwin/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/05/shabudin-tak-sokong-kahwin-perogol-cuma-tolak-haramkan-kahwin-bawah-umur/