Lelaki terjun sungai cuba selamatkan bot dikhuatiri lemas

lemas

KOTA TINGGI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Sedili untuk cuba menyelamatkan botnya yang dihanyutkan arus deras, di sini semalam.

Difahamkan sebelum mangsa, Azizi Amir, 45, yang beralamat di Kampung Semayong, Sedili Besar terjun ke dalam sungai, dia sedang memancing bersama rakannya di Jambatan Haji Mohd Lazim, Sedili Besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 12 tengah hari, semalam.

“Polis menerima laporan dari rakan Azizi yang memaklumkan Azizi telah terjun ke dalam Sungai Sedili sewaktu memancing ikan.

“Azizi dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai sejurus menyedari botnya dihanyutkan arus deras,” katanya di sini hari ini.

Rahmat berkata ekoran itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Azizi dilancarkan yang melibatkan 6 anggota polis dengan sebuah bot, 9 anggota bomba dengan sebuah bot, 6 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung.

Beliau berkata, operasi SAR kemudian disambung pada 8 pagi tadi dengan kekuatan 57 orang termasuk anggota bomba, polis, APMM, Jabatan Perikanan dan juga nelayan tempatan melibatkan 19 bot.