Majlis Peguam: Jawatankuasa Pilihan Parlimen perlu kaji RUU 355

George-Varughese_law_new_600

PETALING JAYA: Majlis Peguam mahu Jawatankuasa Pilihan Parlimen meneliti isu “bermasalah” yang timbul akibat hukuman lebih berat dalam rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Presidennya, George Varughese berkata, Parlimen tidak boleh meneruskan perbahasan RUU 355, sebaliknya perlu menubuhkan jawatankuasa itu seperti yang dicadangkan pada November 2016 untuk menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam berhubung cadangan berkenaan.

“Majlis Peguam Malaysia menyokong cadangan ini yang sudah disuarakan timbalan perdana menteri kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355, mencadangkan had maksimum baru hukuman tanpa menyatakan hukuman sebenar berkaitan setiap kesalahan tertentu.

“Ini menimbulkan isu kesesuaian dan perkadaran dalam menjatuhkan hukuman, khasnya kerana Mahkamah Syariah ialah mahkamah negeri dan negeri berlainan boleh mengenakan hukuman berbeza bagi kesalahan sama.”

Katanya, ia turut menimbulkan isu diskriminasi dan layanan sama rata di bawah undang-undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Khamis lalu menangguhkan perbahasan dan pengundian RUU 355 ke sidang seterusnya.

Vaughese berkata, disebabkan penambahan hukuman yang dicadangkan bagi kesalahan syariah adalah besar, perbezaan antara undang-undang jenayah dan diri perlu ditentukan dengan baik, bersama isu sama ada Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi Mahkamah Syariah mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat itu.

“Ketiga, sifat pindaan dicadangkan itu sudah menjejaskan persepsi orang ramai dan menimbulkan kebimbangan yang mereka boleh membuka jalan kepada pengenalan hudud, di mana Perlembagaan Persekutuan jelas tidak membayangkan dalam skim perlembagaan kita,” katanya.

“Semua ini adalah isu Perlembagaan kritikal yang memerlukan perbincangan teliti dan kajian.”

“Rundingan, penyerahan dan pendengaran awam perlu dijalankan di seluruh negara kerana akibat daripada pindaan yang dicadangkan itu adalah meluas dan selama-lamanya boleh menukar watak dan identiti Malaysia pada masa depan,” katanya.

Pada 22 November 2016, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jawatankuasa Pilihan yang dianggotai ahli Parlimen Islam dan bukan Islam akan dibentuk untuk menyelesaikan isu RUU 355 dan menjelaskan pengasingan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Syariah.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Parlimen Islam dari kerajaan dan pembangkang, katanya, beliau akan mengesyorkan langkah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membentangkannya di mesyuarat Kabinet dalam tempoh seminggu.

Jangan permainkan Islam, amaran Hadi kepada pengkritik RUU 355