Rumah ranap dalam kebakaran, 2 beranak melecur

bombaMIRI: Seorang ibu dan anak lelakinya melecur di bahagian tangan dan lengan dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah 2 tingkat di Fasa 2, Jalan Mulia 4 Tudan pada 9.30 malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, Wong Suik Lang, 63, dan anak lelakinya yang juga pemilik rumah, Sim Hua Seng, 36, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dalam kebakaran yang meranapkan terus rumah itu.

“Sim cedera semasa cuba memadamkan api manakala ibunya pula mengalami nasib sama setelah cuba mendapatkan dokumen penting ketika kebakaran berlaku,” katanya hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat namun kebakaran dipercayai bermula dari bilik tidur tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan 9.50 malam dan kebakaran dapat dikawal pukul 10.30 malam.