Aktivis hilang sahabat baik kapten hilang

370PETALING JAYA: Seorang aktivis yang menjadi orang ke-5 dilaporkan hilang secara misteri baru-baru ini merupakan sahabat rapat Zaharie Ahmad Shah, kapten Malaysia Airlines yang turut hilang bersama 238 penumpang dan anak kapal dalam Penerbangan MH370 pada 2014.

Peter Chong sebelum ini pernah mempertahankan Zaharie susulan spekulasi beliau menjadi dalang kehilangan MH370, yang antara lain menuduh kapten berpengalaman itu dengan sengaja menghempaskan pesawat Boeing itu ke dalam laut.

MH370 hilang pada tengah malam 8 Mac, 2014, sewaktu dalam penerbangan ke Beijing. Pencariannya selama 3 tahun tidak membuahkan hasil, malah tidak meninggalkan apa-apa kesan selain beberapa kepingan bangkai kapal terbang di laut berhampiran Madagascar.

Pada 2014, Chong, 54, dalam temuramah bersama FMT menceritakan dia dan Zaharie bersahabat sejak 2012 selepas bertemu dalam program kebajikan.

“Saya menyedari tak pernah jumpa lelaki ini sebelum saya perkenalkan diri saya. Dia beritahu saya dia bertugas dengan MAS,” katanya

Chong yang juga bekas ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, hilang beberapa hari lalu, menambahkan kebimbangan mengenai siri kehilangan beberapa aktivis kebelakangan ini.

“Saya kali terakhir jumpa ayah saya pada Rabu lalu. Selepas itu, saya tidak dapat telefon ayah saya. Saya dan keluarga sedang cari sama ada ayah saya hilang atau telefon dia hilang,” kata anaknya, Darryl Chong.

“Ayah saya memang biasa tak balik rumah, tetapi jika dia tak balik, dia akan telefon keluarga atau saya. Tetapi tidak kali ini. Saya sudah buat laporan polis malam semalam di Balai Polis Tun HS Lee, Kuala Lumpur,” Darryl memberitahu FMT semalam.

Empat individu lain yang dilaporkan hilang itu ialah Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka berempat.

Dalam satu gambar yang dikongsi di Internet, Chong dilihat bersama Zaharie yang memakai baju T “demokrasi sudah mati” dalam satu protes.

Zaharie dikatakan seorang penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan hadir di mahkamah untuk menyatakan solidariti kepada pemimpin PKR itu sehari sebelum penerbangan malang pada 8 Mac. Kira-kira 11 bulan selepas kehilangan MH370, Anwar dipenjarakan 5 tahun oleh Mahkamah Persekutuan yang mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Azlan Bukhari.

Chong kali terakhir memuat naik di Facebook pada 31 Mac, di mana beliau menceritakan didatangi seorang lelaki yang mengingatkannya supaya berhati-hati dengan kejadian penculikan.