Amri hilang kerana kaitan Syiah? Isteri perjelaskan

AmriPETALING JAYA: Isteri kepada aktivis berpengkalan di Perlis, Amri Che Mat, mempersoalkan tuduhan suaminya berkait dengan ajaran Syiah, dan berkata dakwaan itu tidak boleh dijadikan alasan menculiknya.

Isterinya, Norhayati Ariffin berkata apa yang berlaku terhadap Amri boleh dibandingan dengan kes penculikan Pastor Raymond Koh Keng Joo, yang hilang tanpa kesan sejak Februari lalu.

“Sama ada dakwaan itu benar atau palsu, mereka tidak patut ‘menutup mulut’ individu ini melalui cara tidak sah,” kata Norhayati kepada FMT.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang Amri, pengasas bersama Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), terlibat dalam penyebaran aliran Syiah.

Syiah, aliran kedua terbesar Islam, tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di Malaysia, dan difatwakan “menyeleweng” oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Mana bukti suami saya Syiah? Mengapa pihak berkuasa tidak pernah datang dan bertanya kepadanya? Malah polis tidak pernah datang ke rumah kami,” soal Norhayati.

Beliau juga mempersoalkan suaminya terkait dengan keganasan.

“Ada yang mendakwa Perlis Hope adalah organisasi pengganas, tapi datang dulu ke rumah kami atau pejabat Perlis Hope, dan semak akaun kami.

“Kami menyimpan semua rekod aktiviti kerana Perlis Hope sebuah pertubuhan berdaftar dan kami menerima sumbangan walaupun sekecil RM3,” kata Norhayati.

Sementara itu, jurucakap Perlis Hope Mahmud Al-Kaf menyatakan jika pihak berkuasa mempunyai bukti Amri adalah Syiah, mereka harus membawanya ke mahkamah, bukan membiarkan beliau diculik.

Kecewa tiada usaha siasat

Norhayati bersetuju dan berkata, “Negara ini mengamalkan kebebasan beragama, jika pegangan umat Islam kuat, maka mereka tidak mudah terpengaruh dengan ajaran orang lain.”

“Seperti Koh yang dituduh menyebarkan agama Kristian, itu haknya untuk menyebar agama dan kepercayaannya.”

Amri, seorang peniaga tukaran wang asing dan aktivis sosial, diculik di Bukit Chabang, Perlis pada 24 November tahun lepas.

Norhayati berkata ada saksi melihat 5 kenderaan menyekat kereta Amri sebelum dia dibawa pergi dengan jarak hanya 550 meter dari rumah mereka.

Toyota Fortuner dipandu Amri ditemui pada hari kehilangannya di Bukit Chabang, Perlis dengan cermin kiri, kanan dan belakang pecah.

Dalam perbualan dengan FMT hari ini, Norhayati mempersoalkan pihak berkuasa hanya berdiam diri terhadap penculikan suaminya dan ketidakmampuan mereka mendedahkan petunjuk dalam tempoh 4 setengah bulan yang lalu.

“Saya pernah hubungi mereka beberapa kali semasa awal kehilangan Amri, tapi mereka tetap kata tidak mengendalikan kes ini.

“Selepas saya putus asa terhadap mereka, kini wakil keluarga cuba berkomunikasi dengan polis dan jawapannya tetap sama.

“Saya tidak faham bagaimana mereka tidak dapat mengesannya.

“Terdapat beberapa saksi yang pernah menyaksikan penculikan itu tapi mereka tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat.”

Norhayati yang merupakan ibu kepada 4 anak berkata, saksi memberitahunya pernah melihat sebuah kereta memantau rumahnya selama lebih seminggu.

“Bila saya tanya sama ada mereka merancang sekatan jalan raya di sekitar kejiranan atau memantau rumah saya untuk memastikan tiada siapa mengganggu kami, polis berkata tidak,” tambah Norhayati.

“Polis sekurang-kurangnya perlu meronda kawasan itu, ia tidak memerlukan kerja yang banyak hanya meronda dengan kereta sekitar kejiranan saja.

“Kadang-kadang saya takut mahu keluar atau menghantar anak-anak tuisyen pada waktu malam, tapi saya tiada pilihan dan saya perlu kuat.”

Hilang tanpa khabar, nasib Amri seperti Pastor Koh