DAP Selangor: Tiada keperluan bagi Chang Khim letak jawatan

tony-pua-1

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim tidak perlu meletakkan jawatan ekoran isu kesilapan dan peruntukan kontroversi Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor berhubung peraturan membina rumah ibadat bukan Islam.

“Tidak ada keperluan untuk Teng meletakkan jawatan hanya kerana kesilapan itu, kesilapan itu telah dibetulkan sebaik diketahui,” kata beliau dalam satu kenyaatan dikeluarkan lewat petang ini.

Pua berkata, Jawatankuasa DAP Selangor yang mengadakan mesyuarat tergempar petang ini membincangkan kebimbangan orang ramai terhadap garis panduan dan sekatan yang dirancang untuk dikenakan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju cadangan-cadangan yang digubal menerusi manual itu tidak sesuai dalam masyarakat berbilang agama dan kaum yang menggalakkan rasa hormat dan toleransi bersama.

Katanya, DAP Selangor turut mendengar penjelasan Teng, juga Naib Pengerusi DAP Selangor, yang walaupun telah meminta pegawai kerajaan negeri agar membuat pindaan-pindaan yang perlu tetapi tidak dimasukkan ke dalam versi akhir garis panduan.

“Seperti yang dilaporkan dalam sidang akhbarnya pagi tadi, Teng memohon maaf atas kesilapan yang tidak diduga dan juga menawarkan untuk meletakkan jawatan,” kata beliau.

Pada sidang media pagi tadi, Teng menawarkan kesediaan untuk meletakkan jawatan jika dikehendaki.

Teng berkata, kesilapan dan peruntukan kontroversi dalam Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor edisi ke-3 berhubung peraturan membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu, akan dibuang.

“Saya akan minta peruntukan kontroversi itu dipadamkan selepas melakukan pengesahan,” katanya.

Kata Teng, beliau pada awalnya meminta pegawai melakukan pindaan, sebaik sahaja menyedari wujud banyak kesilapan dan peraturan kontroversi sebelum edisi ke-3 itu diterbitkan pada 1 Januari lalu, tetapi pegawai terbabit tidak berbuat demikian menyebabkan masalah timbul.

Beliau berkata, garis panduan edisi ke-3 itu adalah semakan kepada versi lama, bertujuan menjadikan peruntukan tidak jelas, lebih jelas dan hanya terpakai kepada rumah ibadat bukan Islam yang baharu.

“Sesetengah garis panduan sudah dilaksanakan sebelum ini dan semua organisasi bukan Islam sepatutnya jelas dengan isi kandungannya.

“Jadi hanya perlu ubah suai peraturan baru kontroversi itu, maka masalah akan selesai. Saya akan berjumpa kumpulan bukan Islam itu setiap bulan, jika mereka ada sebarang masalah, boleh beritahu saya,” katanya.

Antara peruntukan bermasalah itu termasuk rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina dalam kawasan komersial atau dalam jarak 50 meter dari rumah umat Islam. Tambahan, pembinaan rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan kediaman penduduk berbilang kaum perlu mendapat persetujuan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 200m, selain rumah ibadat itu tidak boleh tinggi daripada masjid berdekatan.

Sehubungan itu Pua menambah, pihaknya mendapati soal Teng perlu meletakkan jawatan Exco tidak timbul sama sekali kerana beliau tidak melakukan sebarang jenayah.

“Beliau tidak mencuri wang dari tabung kerajaan negeri, dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk memberi manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan seperti pemaju.”

Sebaliknya, kata Pua, DAP Selangor mengucapkan tahniah kepada Teng kerana tampil mengambil tanggungjawab penuh ke atas kesilapan yang tidak disengajakan walaupun pada hakikatnya manual garis panduan diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor.

Katanya, manusia sudah pasti melakukan kesilapan tetapi apa yang paling penting adalah “langkah segera sedang diambil untuk memastikan kesilapan itu diperbetulkan.”

Kata Pua, DAP Selangor juga menyokong tindakan Teng yang mahu mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Negeri, Rabu ini bagi menggantung segera pelaksanaan garis panduan itu.

Garis panduan kontroversi akan dibuang, kata exco Selangor

Garis panduan kontroversi akan dibuang, kata exco Selangor