Intai pelajar, penganggur mengaku bersalah

law_jail_1_600

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengintai seorang pelajar perempuan di sebuah tandas, semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Chew Chee Yean, 30, setelah dia mengaku bersalah mengintai seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dengan tujuan mengaibkan kehormatannya.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah tandas wanita di Viva Home, Jalan Loke Yew di sini, pada 2.30 petang, 9 April mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman denda yang ringan.