Kastam rampas 18 tanduk badak bernilai lebih RM13 juta di KLIA

ivory_smugglingSEPANG: Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lepas berjaya mematahkan cubaan menyeludup 18 tanduk badak sumbu bernilai RM13.67 juta, rampasan terbesar seumpamanya di negara ini.

Pengarah Kastam klia Datuk Hamzah Sundang berkata 18 tanduk badak sumbu seberat 51.445 kilogram itu diletakkan dalam kotak kayu tiba di KLIA jam 5.40 petang melalui penerbangan Qatar Airways dari Mozambique yang transit di Doha sebelum ke Kuala Lumpur.

Kargo tanduk badak sumbu itu ditandakan sebagai ‘Obra De Arte’ (barangan perhiasan berkaitan seni) dalam Air Waybill (surat muatan udara) manakala alamat penerima di Nilai, Negeri Sembilan, yang digunakan adalah palsu, katanya.

Bertindak atas maklumat, katanya, pasukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA terhadap kotak kayu disyaki membawa barang larangan import itu.

“Penyeludupan tanduk badak sumbu tersebut untuk dipasarkan di negara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata tanduk badak sumbu dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Menurutnya, tanduk badak sumbu disenaraikan sebagai barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ke-3, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan dan jika disabit kesalahan boleh didenda minima 10 ganda atau maksimum 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes berasingan, katanya, pihaknya berjaya mematahkan penyeludupan dadah jenis ketamin seberat 2.12 kilogram bernilai RM95,400 dengan penahanan seorang lelaki warga India yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 5 April melalui penerbangan dari Chennai, India.

Lelaki berusia 65 tahun itu merupakan seorang ahli perniagaan pernah masuk ke Malaysia sebanyak 9 kali, katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.