Keluarga 2 rakyat Malaysia ditahan ke Indonesia esok

kamarol-shafa

KUALA LANGAT: Keluarga 2 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia akan ke negara itu esok bagi mendapatkan kepastian berhubung penahanan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini mengesahkan 2 rakyat Malaysia yang dilaporkan “hilang” di Jakarta sejak 30 Mac lepas iaitu Mohamad Shafa Ahmad dan Kamarol Arifin Mohamad Darus, kini berada dalam tahanan polis.

Ibu kepada Kamarol Arifin, Hamidah Kordi, 65, berkata, anggota keluarga kedua-dua belah pihak akan ke Jakarta esok bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

“Saya tidak tahu mengenai anak saya (ditahan), polis pun tidak maklum apa-apa kepada saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Kamarol Arifin dan rakannya, Mohd Shafa yang dilaporkan hilang sejak 30 Mac lalu, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.

Kedua-duanya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta setelah polis menemui beberapa biji pil dipercayai dadah sintetik melalui pemeriksaan badan mereka.

Perkara itu disahkan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menyatakan mereka kini berada dalam tahanan polis.

Beliau berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu dapat dikesan setelah Atase Polis DiRaja Malaysia dan Atase Imigresen di Kedutaan Besar Malaysia menjalankan siasatan mengenai “kehilangan” mereka.

Mohamad Shafa, 29, dan Kamarol Arifin, 27, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang, dilaporkan hilang oleh keluarga mereka.

Mereka hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada pukul 2 petang 29 Mac lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Dua sahabat baik itu berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, dikatakan mengunjungi Jakarta untuk menonton konsert Dj Armin Van Buuren di Jakarta International Expo.