Lajim Ukin masih ketua pembangkang Sabah

lajim-sabahKOTA KINABALU: Bekas pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin, kekal sebagai ketua pembangkang negeri sehingga hujung penggal Dewan Undangan Negeri Sabah.

Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti bantahan Adun pembangkang mengenai jawatan tersebut.

“Selepas menerima pelbagai bantahan mengenai jawatan ketua pembangkang, saya telah meneliti dan memutuskan jawatan itu kekal disandang ketua pembangkang sedia ada (Lajim) sehingga hujung penggal DUN,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Oktober lalu, Lajim yang juga Adun Klias, mengisytiharkan keluar PKR, mengikut jejak Adun Moyog Terrence Siambun dari PKR, Adun Likas Junz Wong dari DAP dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking dari PKR.

Lakim kini merupakan presiden Parti Harapan Rakyat Sabah.

Sebelum menyertai PKR pada 2012, Lajim merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan pernah menjawat jawatan sebagai timbalan menteri kementerian perumahan dan kerajaan tempatan.