Menteri mahu wajibkan taska di flat kos rendah

Noh-OmarPETALING JAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mewajibkan flat kos rendah mempunyai taska, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata dasar cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet dalam kadar segera selepas pihak kementerian berbincang secara terperinci mengenainya.

“Saya cadangkan polisi berkenaan kepada Kabinet dan ia bakal dilaksanakan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke flat kos rendah Desa Mentari hari ini.

Mengulas mengenai lawatan itu, Noh berkata kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk memberi kemudahan 2 lif baharu kepada Blok 6 flat berkenaan manakala lif di Blok 4 akan dibaiki.

Katanya kemudahan lif diberikan kementerian itu bakal memberi keselesaan kepada penduduk selepas lif sedia ada mengalami kerosakan dan tidak dibaiki sejak sekian lama.

“Blok 4 ada 11 tingkat dan 480 rumah manakala Blok 6 ada 17 tingkat dan 484 rumah.

“Lif di Blok 4 ada 2 tetapi yang beroperasi hanya satu dan lif berfungsi itu selalu rosak.

“Blok 6 pula ada 2 lif tetapi dua-dua sudah 5 tahun rosak,” katanya.

Tambahnya, kemudahan di Blok 6 itu dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa 48 minggu bermula bulan depan kerana lif berkenaan perlu diganti baharu dan bukan dibaiki.

“Kementerian juga akan memperbaiki jeriji tangga yang rosak teruk selain memperkenalkan sistem kad akses kepada penduduk yang mahu menggunakan kemudahan lif, gril dan sistem kamera litar tertutup untuk pemantauan,” katanya.

Menyambut baik keprihatinan kementerian itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Blok 6, Norizan Harun berkata penambahbaikan itu memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama berdepan masalah tersebut.

“Saya sangat berterima kasih kepada kementerian kerana sudi mendengar rintihan kami.

“Kedua-dua lif di blok saya ini sudah lama rosak, kami mempunyai masalah terutama ketika musim tiada air dan terpaksa mengangkut bekas berat berisi air naik turun tangga,” katanya kepada Bernama.

Beliau menetap di Blok 6 sejak flat itu dibina kira-kira 15 tahun lalu berkata kemudahan kad akses pada lif tersebut akan mengelakkan segelintir penduduk daripada terus tidak membayar yuran penyelenggaraan.

“Bagi saya kalau ada kemudahan kad akses ini amat bagus kerana ada penduduk yang tak bayar yuran.

Selepas ini, kalau mereka tidak bayar, mereka tidak akan dapat naik lif menggunakan kad akses,” katanya.