PAS tidak warisi pemikiran Nik Aziz, kata bekas exco Ulama PAS

wan-ji-pas

KUALA LUMPUR: Pendekatan PAS yang kini lebih “mesra” dengan Umno di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan pemikiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak diwarisi PAS, kata pendakwah Wan Ji Wan Hussin.

Wan Ji, bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor yang kini ahli PKR, berkata PAS pada masa ini dilihat keliru dan tidak tahu mana satu musuh dan lawan mereka.

Katanya, ini berbeza dengan Nik Aziz, yang dahulu lebih fokus dan kenal musuh mereka iaitu Umno.

“Saya rasa politik Nik Aziz unik. Saya nampak dia tahu mana musuh, mana kawan. Dia jelas, dia tahu Umno itu jahat. Jadi dia tak berkawan (dengan Umno). Dia fokus mana musuh mana lawan.

“Nik Aziz berjaya manfaatkan akal dalam agama dan berpolitik. Dia seorang berfikiran positif,” katanya pada Seminar Pemikiran Nik Aziz di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor semalam.

“Saya nampak yang ini (pemikiran Nik Aziz) tidak ada dalam PAS. PAS pun keliru mana satu lawan ke musuh,” katanya.

Sejak muktamar tahunannya pada 2015 yang menyaksikan kekalahan pemimpin yang mahu meneruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat, PAS dilihat mengambil pendekatan lebih mesra terhadap Umno di bawah Hadi dan bekas mursyidul am, Datuk Haron Din, yang meninggal dunia September lepas.

Parti Islam itu antara lain turut sama dengan Umno melancarkan kapal dimuatkan bantuan untuk penduduk Rohingya dalam majlis yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

PAS juga menolak sebarang kerjasama dengan beberapa parti pembangkang.

Wan Ji berkata selain Nik Aziz, seorang lagi pemimpin yang dikagumi dan dianggap hebat ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nik Aziz datang ke Kelantan pada pemerintahan Dr Mahathir. Dr Mahathir hebat, tiba-tiba Kelantan susah nak jatuh. Nik Aziz hebat. Musuh dia hebat.

“Saya percaya pilihan raya akan datang BN akan jatuh dengan kehadiran Dr Mahathir dalam PH,” katanya.

Wan Ji juga mencadangkan pemikiran Nik Aziz diteruskan dengan mewujudkan institusi Nik Aziz.

“Saya cadang pemikiran Nik Aziz ini bukan semata-mata diseminarkan tetapi diinstitusikan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Nik Aziz seorang yang berpandangan jauh, baik dari segi urusan pentadbiran kerajaan negeri, malah soal strategi politiknya bersama parti lawan.

Bekas timbalan presiden PAS itu memberi contoh bagaimana PAS kini “seiring sejalan” dengan Umno, sesuatu yang ditentang kuat Nik Aziz ketika memimpin PAS.

“Nik Aziz seorang yang futuristik. Pandangannya ke hadapan. Datuk Husam Musa mungkin lebih tahu kerana sudah lama berdamping dengan tok guru,” katanya merujuk bekas exco Kelantan yang kini menyertai Amanah.

“Nabi Nuh telah membina kapal kerana mendapat ilmu menerusi ilham dan wahyu, bahawa akan berlakunya banjir besar. Dia membina kapal ketika hujan belum turun lagi. Tetapi anaknya tak ikut.

“Iman itu tak dapat diwarisi, kita kena faham. Jika ada anak tak ikut pandangan bapa atau sebagainya, kerana iman tak diwarisi. Malah dikatakan pula, air baru naik sedikit, bukit ada lagi. Kemudian dirasakan bukit semakin tenggelam, dikatakan pula gunung masih ada. Dicari-cari kemudian jumpa Umno,” katanya.

Mohamad, atau Mat Sabu, berkata kewujudan Amanah meneruskan perjuangan Nik Aziz.

“Ketiadaan Nik Aziz menyebabkan sedikit celaru, tetapi kita yakin sebagai anak buahnya akan berusaha menterjemahkan pemikirannya, tindakannya dalam tindakan kita,” katanya.