Pekerja restoran tidak mengaku salah sokong IS

azizi-abdlhKUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini terhadap 3 pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS.

Azizi Abdullah, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mahkamah menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa memberikan sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi yang dianggap berniat mengugut orang awam menerusi aplikasi telegram di telefon bimbit miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di F15, Kampung Baru Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baharu, Serdang, Kedah antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3, dia didakwa memiliki bahan berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.