Perbezaan mazhab, berita palsu antara halangan wujudkan hab halal

halal

KUALA LUMPUR: Cita-cita Malaysia untuk menjadi hab halal sedunia tidak akan tercapai sekiranya umat Islam masih ragu-ragu terhadap produk yang sudah menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), badan rasmi piawai halal di negara ini, kata bekas penasihat piawai halal kepada sebuah syarikat pengeluar makanan.

Nurul Haq Shahrir memberikan contoh bagaimana segelintir umat Islam mempertikaikan status halal coklat Cadbury 3 tahun lalu, selepas didakwa ada produknya yang mengandungi DNA babi.

Beliau kesal dengan umat Islam di Malaysia yang masih percaya “mitos” mengenai kehalalan sesuatu produk yang disebarkan di media sosial.

“Sikap sebegini bukan sahaja tidak membantu bahkan membantut sebarang usaha untuk memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia. Agak sukar untuk mengukuhkan kedudukan produk halal Malaysia di seluruh dunia jika kita masih gemar menabur fitnah melalui jari-jari kita – dikarang berita palsu yang berjela-jela panjangnya,” kata Nurul Haq yang juga anggota Panel Transformasi Undang-Undang Islam dalam Majlis Dakwah Negara.

Katanya, media sosial sarat dengan pelbagai dakwaan melabel sesuatu produk itu haram.

“Kononnya produk ini haram, produk itu ada lemak babi, air mineral dicampur ‘holy water’, kopi itu mengandungi arak dan pelbagai lagi tohmah yang boleh dipolemikkan untuk ‘membakar’ sentimen pengguna Islam.”

Satu logo halal sukar diwujudkan

Nurul Haq juga berkata sukar untuk mewujudkan hanya satu badan pengiktirafan sijil halal yang memakai satu logo, disebabkan takrifan halal yang berlainan di kalangan dunia Islam.

Beliau menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mewujudkan sijil halal tunggal di peringkat antarabangsa, tetapi ia sukar dilaksanakan di sebabkan perbezaan dalam definasi halal.

Beliau memberi contoh pendekatan mazhab Hanafi yang menjadi ikutan majoriti umat Islam hari ini.

“Makanan laut selain daripada jenis ikan seperti sotong, ketam, kepah, kupang, belut, kerang dan seumpamanya tidak dikategorikan sebagai haiwan yang halal untuk dimakan oleh mazhab Hanafi.

“Oleh itu, makanan yang mempunyai unsur haiwan laut tersebut adalah haram bagi pengikut Mazhab Hanafi,” katanya.

Tambahnya, badan pensijilan halal yang berpegang dengan definisi halal mazhab Hanafi tidak akan memberi pengesahan halal mereka bagi produk yang berasaskan ketam.

Memberi satu lagi contoh, Nurul Haq berkata mazhab Syafi tidak mewajibkan membaca “bismillah” ketika menyembelih haiwan, sebaliknya ia wajib untuk mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki.

Minggu lepas, Zahid mencadangkan pengiktirafan bersama pensijilan halal di seluruh dunia memandangkan terdapat lebih 200 badan pensijilan mengeluarkan sijil dan logo halal masing-masing.

Nurul Haq berkata badan pensijilan halal yang bukan bermazhab Syafi, iaitu mazhab yang diamalkan secara rasmi di Malaysia, tidak mungkin mengiktiraf sijil halal negara ini.

“Perbezaan pendapat inilah yang menjadi faktor penghalang usaha untuk mewujudkan satu piawaian halal yang seragam.”

Katanya, mustahil menggabungkan perbezaan mazhab untuk melahirkan pendapat yang diterima pakai kesemua mazhab.

Bagaimanapun, pensijilan halal seragam masih boleh dilaksanakan di Asean kerana persamaan amalan Islam.