Peter banyak bantu program cari bakat ‘model Islam’

Dari kiri: Peter Chong, Raden Ahmad, Faizal (penyampai Melaka FM), Tengku Kery (designer Muslim Model Show 2016), Rudy Ludinata (perunding imej MMS2016). Belakang pula peserta MMS2016.
Dari kiri: Peter Chong, Raden Ahmad, penyampai radio Faizal, Tengku Kery dan Rudy Ludinata yang terlibat dengan Muslim Model Show, bersama peserta.

KUALA LUMPUR: Kehilangan aktivis Peter Chong yang hilang minggu lalu benar-benar merisaukan Raden Ahmad, rakannya yang sama-sama menganjurkan sebuah pertandingan bakat yang khusus menampilkan model Islam.

“Apa salahnya pun saya tidak tahu. Saya berharap agar beliau pulang segera,” kata Raden dihubungi FMT.

Mereka berdua terlibat dalam sebuah pertandingan model di Youtube, Muslim Model Show, di mana Peter merupakan penasihat pemasaran dan persembahan.

Muslim Model Show dijangka diadakan gilang-gemilang pada Ogos ini, kata Raden.

Peter yang juga bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, kali terakhir dilihat pada 5 April lalu, ketika meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Ia menimbulkan tanda tanya di sebalik siri kehilangan beberapa aktivis sebelum ini.

Pada 31 Mac lalu, Peter menerusi kiriman Facebook mendakwa beliau didekati individu tidak dikenali yang memberi peringatan agar “berhati-hati” di sebalik kes orang hilang.

Raden terakhir bertemu Peter pada 5 Mac lalu, ketika penggambaran video promosi Muslim Model Show 2017.

Rancangan pertemuan selepas itu tidak terlaksana kerana kesibukan urusan kerja.

“Kami kemudian banyak berhubung melalui Whatsapp. Beliau ada berpesan agar menjaga semua model dengan baik,” katanya.

Sabtu lalu, anak Peter, Darryl Chong membuat laporan polis selepas usaha menghubunginya gagal.

Empat individu lain yang dilaporkan hilang itu ialah Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka.

Raden berharap Peter akan ditemui secepat mungkin.

“Saya serahkan kepada polis yang kini berusaha keras mengesan pergerakan terakhir Peter. Saya risaukan kesihatannya,” katanya lagi.