RUU 355: Hak Hadi, jangan prasangka, kata Pemuda PKR

hadiPETALING JAYA: Pemuda PKR hari ini mempertahankan hak Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa rang undang-undang (RUU) persendirian bagi memberi kuasa lebih kepada mahkamah syariah, sambil berkata ia tidak perlu dijadikan modal politik bagi menimbulkan keresahan rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut mengalu-alukan penjelasan presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang, serta Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai RUU meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, sebelum Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menamatkan sesi.

“Pencerahan yang diberikan YB Marang dan Kota Bharu sedikit sebanyak mampu meredakan keresahan yang timbul sebelum ini dan diharap ianya dapat menjurus ke arah satu situasi yang membina dan bermakna untuk usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah di negara ini,” kata Dr Afif.

Khamis lepas, Pandikar menamatkan sesi perbahasan Dewan Rakyat sebaik saja Takiyuddin menjelaskan usul Hadi bagi menambahkan hukuman maksima ke atas pesalah syariah.

Ia mencetuskan ketegangan apabila beberapa wakil rakyat pembangkang berulang kali mempersoalkan tindakan Pandikar sambil dibalas beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Dr Afif berkata polemik RUU 355 “yang telah dimainkan Umno sebelum ini tidak harus lagi digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan di dalam masyarakat”.

Menurutnya, pihaknya juga “menghormati hak YB Marang dan PAS untuk membentangkan RUU 355, seperti yang dijamin Perlembagaan dan amalan demokrasi di negara ini.”

Beliau mengulangi pendirian PKR yang mahu suatu jawatankuasa pilihan ditubuhkan bagi menilai RUU itu.

“Kami juga menyarankan agar satu wacana yang sihat dan terbuka diadakan bagi membincangkan soal pemerkasaan dan meningkatkan integriti Mahkamah Syariah di Malaysia.