SIB mohon penjelasan KDN penggunaan kalimah ‘Allah’

Jerry-DusingKUALA LUMPUR: Presiden Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Datuk Jerry W A Dusing @ Jerry W Patel memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah “Allah” dalam agama bukan Islam akan menyebabkan kekeliruan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Perkara itu terkandung dalam afidavit sokongan Dusing yang difailkan pada 8 Disember 2016 dalam permohonannya memeriksa balas pegawai KDN, Barkhiya Shahiruddin mengikrarkan afidavit jawapan bagi pihak defendan iaitu KDN dan kerajaan Malaysia.

Dalam afidavit jawapan itu, defendan mengatakan penggunaan kalimah “Allah” adalah eksklusif untuk agama Islam serta umat Islam di negara ini dan penggunaan perkataan itu dalam agama bukan Islam menyebabkan kekeliruan dan sensitiviti keagamaan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Peguamnya Lim Heng Seng, memberitahu pemberita anak guamnya memohon memeriksa balas pegawai tersebut bagi menentukan kebenaran afidavit berkenaan dan mahkamah menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes.

Afidavit Dusing itu diperoleh media melalui peguam yang mewakilinya iaitu Lim dan Tan Hooi Ping selepas pengurusan kes saman pemula SIB dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah hari ini.

Dalam afidavitnya, Dusing mempersoalkan kebenaran sebutan yang dinyatakan dalam afidavit defendan serta fakta kononnya merupakan asas melarang pengedaran penerbitan Kristian selain daripada Bible yang mengandungi perkataan “Allah”.

“Sebutan dan fakta yang dipertikaikan relevan kepada isu yang akan ditentukan mahkamah, sama ada plaintif dan ahli jemaah mereka mempunyai hak perlembagaan menggunakan perkataan “Allah” dalam menganuti dan mengamalkan akidah Kristian mereka,” kata Dusing dalam afidavit itu.

Dusing dan SIB, selaku plaintif, memfailkan saman pemula itu pada 10 Dis 2007 terhadap KDN dan kerajaan berhubung haknya menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan dan amalan keagamaannya.

Kedua-dua plaintif memfailkan saman itu mencabar keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang merampas buku agama mengandungi kalimah “Allah” yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.

Ia bagi memohon perisytiharan mereka mempunyai hak perlembagaan menggunakan kalimah “Allah” dalam terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dalam Bible Kristian, dan semua penerbitan dan bahan keagamaan lain.