Usul kecam Shabudin: Umno dakwa Guan Eng balas dendam

Datuk_SeriZainal_Abidin_OsmGEORGE TOWN: Hasrat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk membentangkan usul bagi ‘mengecam’ ucapan Datuk Shabudin Yahaya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Rakyat baru-baru ini dilihat sebagai satu tindakan untuk “membalas dendam”.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyifatkan tindakan untuk membawa usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan adalah susulan pendedahan Shabudin di Parlimen tahun lalu mengenai pembelian 1 hartanah di bawah harga pasaran oleh Guan Eng.

“Rentetan daripada pendedahan di Parlimen oleh Sahabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, Ketua Menteri Pulau Pinang telah didakwa di mahkamah atas 2 pertuduhan rasuah dan kes itu sedang menanti perbicaraan bermula.

“Umno Pulau Pinang sekali lagi mengulangi desakan terhadap Guan Eng untuk bercuti atau melepaskan jawatan ketua menteri yang disandang beliau sehinggalah perbicaraan kes rasuah beliau di mahkamah selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, kedegilan atau keengganan Guan Eng, yang berdepan pertuduhan rasuah, untuk melepaskan jawatan atau bercuti telah mencemarkan kewibawaan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saksi-saksi kes terutamanya pegawai-pegawai kerajaan akan serba salah dan rasa tertekan sekiranya mereka dipanggil untuk memberi keterangan terhadap seorang ketua menteri yang masih atau sedang memegang jawatan.

“Jadual perbicaraan kes yang panjang juga akan mengganggu pelaksanaan tugas harian ketua menteri dan berkemungkinan merencat perjalanan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu Zainal Abidin berkata, Umno Pulau Pinang telah memutuskan dan meminta Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid untuk membawa 1 usul bagi mendesak peletakan jawatan Guan Eng sebagai ketua menteri pada sidang DUN yang dijadual bermula 19 Mei ini.

Sementara itu, Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya hari ini berkata, Umno Pulau Pinang boleh mengemukakan apa-apa usul pada sidang DUN akan datang kerana negeri ini mengamalkan prinsip demokrasi.

“Boleh… kita tiada halangan berhubung perkara itu (usul). Setakat ini kita tidak mempunyai sebarang halangan untuk mereka memfailkan usul itu, tetapi ia terpulang kepada speaker untuk membuat keputusan,” katanya.

 

Malu ada wakil rakyat macam Shabudin, kata Guan Eng