Amanah desak kerajaan dedah penglibatan pemimpin Umno jual senjata Korea Utara

Salahuddin-Ayub_talk

KUALA LUMPUR: Amanah hari ini sekali lagi mendesak kerajaan mengeluarkan laporan lengkap berhubung dakwaan syarikat menjual senjata dari Korea Utara di negara ini yang dikatakan ada kaitan rapat dengan seorang ketua Umno bahagian.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub membuat desakan itu selepas tiada sebarang jawapan dikeluarkan kerajaan dan polis berhubung isu berkenaan walaupun satu memorandum diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 15 Mac lalu.

Laporan sebelum ini mendedahkan terdapat individu dan syarikat di negara ini dikesan menjual senjata dan peralatan ketenteraan di sebuah premis di Bangsar yang dikatakan pemiliknya seorang ketua Umno bahagian.

“Media antarabangsa melaporkannya dan memburukkan imej negara, jadi saya bertindak menghantar memorandum kepada ketua polis negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.

Pada 15 Mac lalu, Amanah melalui memorandum
menggesa Khalid memberi penjelasan segera berhubung dakwaan terdapat syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara.

Beliau mendakwa ada aktiviti penjualan senjata oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

Dalam memorandum itu, Salahuddin memberi tempoh 2 minggu kepada Khalid mengeluarkan kenyataan rasmi dan memulakan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang maklum balas diterima pihaknya.

“Saya bimbang jika tiada tindakan pantas menyebabkan negara kita menjadi seperti Mexico atau bandar di Amerika Selatan yang penuh dengan jenayah terancang.

Salahuddin juga mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi membentang laporan lengkap melibatkan isu ini pada sidang Parlimen akan datang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/15/amanah-gesa-kpn-perjelas-isu-jual-senjata-haram-korea-utara/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/frontpage/2017/03/20/kpn-syarikat-malaysia-korea-utara-tak-jual-senjata-api/