Kartun monyet: PAS mahu Nanyang minta maaf terus kepada Hadi

pas-nanyang

PETALING JAYA: Sekumpulan ahli PAS mahu akhbar Nanyang Siang Pau memohon maaf secara langsung kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sehari selepas akhbar berbahasa Cina itu memohon maaf kerana menyiarkan kartun dianggap menghina presidennya.

Seramai 150 orang dari sayap Pemuda PAS berkumpul di luar pejabat akhbar itu di sini, dengan 4 tuntutan, yang antaranya mahu akhbar itu mencetak permohonan maafnya secara meluas di samping memohon maaf terus kepada presiden PAS itu.

“Kita desak supaya insiden dan kesilapan disengajakan ini tidak berulang kerana ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan negara,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

‘Akta drama monyet’

Kartun bertajuk “Akta Drama Monyet” memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang sebelum memberikan ruang RUU itu dibahaskan.

Petang semalam, akhbar itu membuat permohonan maaf terbuka kepada Hadi dan Pandikar.

Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan memberi amaran keras agar akhbar berkenaan tidak mengulanginya.

“Insha Allah, Islam dan agama lain terus diberi penghormatan. Kita mahu Islam dihormati semua,” katanya.

RUU yang dibentangkan Hadi mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali, berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.