Ku Nan: Tangguh bahas RUU 335 bukan kerana BN

tengku-adnan

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan Speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355) tidak ada kaitan dengan perikatan itu.

Kata beliau, tindakan pihak tertentu cuba mempersalahkan BN berhubung isu itu bermotifkan politik dan tidak berasas.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, BN tidak terbabit dengan keputusan Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Khamis lalu yang menangguhkan perbahasan usul RUU 355 selepas ia dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang.

“BN tidak ada kena mengena dengan isu ini. Sekiranya Speaker putuskan untuk benarkan RUU 355 dibahas, kita ikut.

“Jadi, kenapa perlu diputarbelitkan dengan pelbagai tohman.”

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pihak pembangkang sengaja melemparkan tuduhan untuk memutarbelitkan rakyat dengan mengatakan BN tahu RUU 355 ini tidak akan dibentangkan pada sidang kali ini, termasuk melabelkan Umno sebagai penipu.

“Saya harap parti pembangkang menghentikan tuduhan ini termasuk mengelirukan pemikiran rakyat dengan mengatakan keadaan negara akan menjadi huru hara pada masa hadapan,” katanya dipetik BH Online.

Jumaat lalu, Pandikar menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan RUU 355 kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan, keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.