PAS mahu KDN kaji semula permit Nanyang

takiyudinPETALING JAYA: PAS yang sedang mengkaji beberapa tindakan terhadap Nanyang Siang Pau mahu Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula permit akhbar itu susulan penerbitan karikatur yang didakwa menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan speaker Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, partinya tidak akan berkompromi dengan Nanyang Siang Pau dan mahu mengambil tindakan saman ke atas pihak bertanggungjawab menerbitkan karikatur itu.

“PAS pusat memandang serius langkah Nanyang Siang Pau dengan sengaja dan dengan niat menyiarkan kartun yang menghina Hadi dan juga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang disiarkan dalam akhbar itu pada 8 April lalu.

“PAS menganggap penyiaran tersebut dalam semua keadaan bertujuan menghina bukan sahaja Hadi dan Pandikar, malah semua umat Islam dan juga undang-undang Islam,” kata beliau dalam kenyataan media petang ini.

Nanyang Siang Pau menerbitkan kartun kontroversi bertajuk “Akta Drama Monyet” memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibentangkan Hadi, Khamis lalu.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas” manakala “speaker” melompat dari pokok itu sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Karikatur itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Pandikar menangguhkan sidang dan bukannya memberi ruang untuk perbahasan.

Penerbitan itu dikecam PAS walaupun Nanyang Siang Pau telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Hadi dan Pandikar.

Seramai 150 ahli Pemuda PAS berkumpul di luar pejabat akhbar itu pagi tadi dengan 4 tuntutan, yang antaranya mahu akhbar itu mencetak permohonan maafnya secara meluas, di samping memohon maaf terus kepada Hadi dan Pandikar.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mahu insiden dan kesilapan disengajakan itu tidak berulang kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dan negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau, Chan Aun Kuang memberitahu FMT yang pihaknya akan menghantar surat rasmi permohonan maaf kepada Hadi dan Pandiar dalam masa terdekat.

Kata beliau, tindakan itu susulan permohonan maaf secara terbuka yang dibuat akhbar tersebut semalam.

Nanyang akan hantar surat mohon maaf kepada Hadi, Pandikar

Nanyang akan hantar surat mohon maaf kepada Hadi, Pandikar