Pemimpin DAP: Pengundi Melayu ‘canggih’, jangan pandang remeh kuasa mereka

liew-1

PETALING JAYA: Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong percaya polemik rang undang-undang (RUU) persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pegangan tidak konsisten Umno sama ada wajar atau tidak membentangkan pindaan itu, digunakan untuk mengalih perhatian orang Melayu dari isu-isu lain.

Bercakap pada seminar mengenai ketokohan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anjuran Parti Amanah Negara hujung minggu lepas, beliau berkata, negara telah mensia-siakan lebih tiga tahun dengan hanya mempertikaikan RUU yang dibawa Hadi, presiden PAS.

“Ini (RUU Hadi) pada dasarnya adalah alat yang digunakan Umno untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu rasuah, salah urus dan skandal mega.

“Malah, hudud dan RUU 355 bukan isu yang memberikan Umno kedua-dua masa dan talian hayat yang diperlukan untuk mengukuhkan kuasa,” kata beliau merujuk kepada usul RUU untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Beliau bagaimanapun berkata, masyarakat Melayu-Islam adalah jauh lebih “canggih” daripada kebanyakan ahli politik yang boleh berfikir.

“Ramai ahli politik, termasuk pemimpin-pemimpin Melayu percaya yang orang Melayu tidak terbuka, takut perubahan dan tidak boleh berfikir untuk diri mereka sendiri.

“Saya sangat tidak setuju dengan pandangan negatif ini.”

Sebaliknya katanya, beliau yakin orang Melayu, bersama-sama rakyat Malaysia yang lain, boleh dan akan dapat melihat dan boleh melalui politik perkauman dan agama yang dikitar semula setiap hari.

“Saya yakin orang Melayu tidak mudah terpengaruh dengan permainan kotor lama.”

Kata beliau, ahli-ahli politik itu sendiri sebenarnya adalah masalah yang paling besar apabila bercakap mengenai pembangunan negara.

“Saya percaya ahli politik perlu menawarkan harapan, visi dan penyelesaian dasar bagi masyarakat kontemporari untuk dipadankan dengan aspirasi generasi baru dan khalayak yang lebih berpengetahuan dan canggih.

“Kita boleh bangkit untuk memimpin dengan idea-idea yang lebih baik.

“Kita perlu mempunyai idea yang boleh dilaksanakan, idea-idea yang boleh memperbaiki kehidupan serta idea-idea yang menunjukkan Islam bukanlah semata-mata yang ideal, tetapi sesuatu yang bermanfaat dan adil kepada semua, termasuk bukan Islam.”

Bercakap mengenai kepimpinan Nik Aziz, yang meninggal dunia pada bulan Februari 2015, kata beliau, bekas menteri besar Kelantan itu seorang yang sukar untuk dicari pengganti.

“Apabila kita mengkaji semula legasi Nik Aziz, adalah penting untuk ambil perhatian yang beliau sentiasa berkembang menjangkaui pengaruh dan penglibatan. Selepas 2008, Nik Aziz telah pun dilihat sebagai ikon dalam kalangan bukan Melayu.”

Katanya, pemimpin dan parti perlu berkembang bersama-sama dengan pengundi mereka dan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam mencapai masyarakat yang lebih baik melalui kepimpinan, prinsip dan pragmatisme.

“Mencampurkan kuasa moral yang tinggi, strategiik yang jelas dan pragmatisme yang berprinsip, Tok Guru telah meninggalkan jurang yang luas untuk diisi.”

RUU persendirian Hadi bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum bagi pesalah undang-undang syariah kepada 30 tahun penjara, 100 sebatan rotan dan RM100,000 denda berbanding maksimum semasa tiga tahun penjara, enam sebatan dan RM5,000 sekarang.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan Barisan Nasional tidak akan membawa RUU itu tetapi menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan sama ada memberi keutamaan kepada RUU yang akan dibentangkan sebagai RUU persendirian.

Kira-kira dua minggu sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan mengambil alih pembentangan itu.

Khamis lepas, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan mendadak untuk menangguhkan perbahasan sehingga persidangan akan datang, sekali gus mencetuskan bantahan daripada pembangkang.