Penganalisis beri amaran kesihatan mental rakyat jadi taruhan
Sepanjang 5 tahun lalu, bilangan kes susulan di klinik pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan semakin meningkat – daripada 525,000 kes pada 2013 kepada 587,000 kes pada 2017.
Penganalisis di Institut Pulau Pinang, Lim Su Lin, berkata, kekurangan profesional dalam bidang kesihatan mental adalah halangan serius untuk mencapai penjagaan kesihatan mental optimum.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai pada 2 April lalu kebanyakan unit kesihatan mental terlebih beban dan kekurangan kakitangan.
“Untuk menambah tenaga kerja, kerajaan perlu meningkatkan pembiayaan biasiswa lepasan ijazah bagi pelajar perubatan yang ingin memajukan kerjaya dalam bidang psikiatri dan psikologi klinikal.”
Lim dalam kenyataan hari ini menyarankan Kementerian Kesihatan mewajibkan doktor pelatih menjalankan tugasan psikiatri semasa program latihan mereka sebagai satu daripada cara mendedah dan menggalakkan lebih ramai doktor menceburi penjagaan kesihatan mental.
“Kementerian juga perlu mengkaji latihan pengamal perubatan di klinik kesihatan utama bagi menyediakan penjagaan kesihatan mental.
“Doktor ditempatkan untuk mengesan risiko dan merujuk pesakit kepada perkhidmatan kesihatan mental.”
Lim berkata, Singapura sudah melancarkan program itu dan kajian menunjukkan ia berkesan dalam pengesanan awal masalah psikologi.
Katanya, statistik kerajaan baru-baru ini menunjukkan pakar psikiatri mencatatkan peningkatan terendah dalam semua kategori pakar klinikal di malaysia sejak 2009 hingga 2013, serta Malaysia pada 2013 mempunyai 0.13 pakar psikiatri bagi setiap 10,000 penduduk, jauh lebih rendah daripada purata 1.31 yang ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.
“Terdapat kekurangan lebih ramai ahli psikologi klinikal, cawangan teras lain penyedia kesihatan mental.”
Sebuah laporan statistik tenaga kerja nasional menyatakan hanya ada 16 ahli psikologi klinikal sepenuh masa yang bekerja di sektor awam dan swasta pada 2011, manakala 26 lagi hanya bekerja sambilan.
Lim berkata, jawapan di Parlimen baru-baru ini mendedahkan setakat 31 Januari lalu, kuota kerja untuk ahli psikologi klinikal yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan dihadkan kepada 15 orang dan daripada jumlah itu, 14 jawatan sudah diisi.
“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan 29.2% morbiditi psikiatri orang dewasa yang berumur 16 tahun ke atas meningkat hampir 3 kali ganda daripada 10.7% pada 1996 (kanak-kanak dan remaja ialah 12.1%).
“Dengan itu, lebih banyak insiden berkaitan kesihatan mental dilaporkan dalam berita.
“Laporan itu terdiri daripada peningkatan kemurungan tenaga kerja dan lebih mengejutkan seorang ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin, bertindak membunuh anaknya atau seorang bekas banduan cuba membunuh diri di stesen Monorel di Brickfields.”
Sepanjang 5 tahun lalu, bilangan kes susulan di klinik pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan semakin meningkat – daripada 525,000 kes pada 2013 kepada 587,000 kes pada 2017.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Lim berkata, keperluan kesihatan mental yang semakin meningkat adalah petanda negara memerlukan profesional kesihatan mental yang lebih layak untuk memberikan perkhidmatan mereka.