Perak kenal pasti pegawai bocor dokumen kerajaan

zamrby

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya akan mengenal pasti pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen rasmi Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak kepada pembangkang.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana penjawat awam sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga rahsia kerajaan seperti termaktub di dalam Akta Rahsia Rasmi.

“Bukan soal takut dan mahu melindungi perkara yang salah, tetapi setiap kakitangan awam bertanggungjawab menjaga setiap dokumen kerajaan.

“Saya simpati kepada mereka dituduh begitu, oleh itu menjadi tanggungjawab saya pula mencari siapa yang bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) yang mempersoalkan prestasi MB Inc dan mendakwa memperoleh dokumen rasmi perbadanan itu daripada pegawai kerajaan.

Mengulas mengenai MB Inc, Zambry berkata tindakan pembangkang keterlaluan apabila menggambarkan seolah-olah perbadanan itu terlibat dalam pelbagai skandal dan mengandaikan ia lebih teruk daripada 1MDB.

Menurutnya pembangkang juga sering mendebatkan isu MB Inc dan mengulangi kenyataan yang sama di dalam persidangan DUN.

“Jika mereka memberi pandangan mengenai tadbir urus MB Inc, kita terima tetapi ini lebih kepada kebencian terhadap MB Inc.

“Saya tertanya-tanya apa sebenarnya dalam fikiran pembangkang, mungkin mereka ada sesuatu agenda,” kata Zambry yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor.

Sementara itu, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata pembangkang seharusnya gembira kerana sejak MB Inc aktif semula pada 2014, perbadanan itu meningkatkan hasil royalti pasir.

“MB Inc berjaya mengurangkan ketirisan pasir yang teruk sebelum ini manakala pengusaha pasir haram berjaya ditangani,” katanya sambil menyuarakan rasa musykil dengan niat sebenar pembangkang terhadap MB Inc.