Ribuan pendatang Filipina diusir dari Sabah

patiKUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Filipina diusir dari Malaysia sebagai sebahagian program “penghantaran pulang secara beransur-ansur” dilakukan kerajaan Filipina.

Kebanyakan mereka yang dihantar pulang dalam tempoh beberapa minggu lalu berasal dari Mindanao, dengan harapan untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan peperangan, menurut laporan Al Jazeera.

Laporan itu berkata, selama beberapa dekad rakyat Filipina memasuki Sabah secara haram bagi mencari kehidupan lebih baik dan Malaysia menahan dan mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) itu.

Januari lalu, Philippine Daily Inquirer melaporkan lebih 7,000 warga Filipina di Sabah ditangkap pihak berkuasa Malaysia kerana status “PATI” dan mula dihantar pulang Februari lalu.

Akhbar itu memetik Setiausaha Kebajikan Sosial Filipina, Judy Taguiwalo sebagai berkata, pekerja asing yang dihantar pulang itu akan diberi makanan, bantuan perubatan dan maklumat perkhidmatan kebajikan.

Rakyat Filipina tanpa dokumen di Sabah dihantar pulang berikutan perjanjian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada November lalu ketika beliau melawat Malaysia.

Najib dilaporkan berkata, kapal tentera laut Malaysia boleh digunakan untuk menghantar rakyat Filipina itu pulang.

The Rappler dari Filipina baru-baru ini melaporkan seramai 1,987 rakyat Filipina diusir dari Sabah pada suku pertama tahun ini.

Menurut Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Filipina (DSWD), seramai 1,706 orang dihantar pulang ke kampung halaman mereka, kebanyakannya di Mindanao.

Selebihnya ditempatkan di pusat pemprosesan untuk pelarian.

Sebahagian besar daripada mereka yang dihantar pulang itu – 1,146 pada Mac, manakala 430 pada Februari dan 411 (Januari).

Tetapi yang menjadi masalah ialah ada di antara mereka diusir itu kembali semula ke Sabah.

“Wang adalah baik di Sabah. Walaupun sekadar kerja kasar, saya diberi gaji, tidak seperti tempat asal saya di Sulu,” kata seorang PATI diusir, Jessica Ali kepada Al Jazeera.

Jessica memasuki Sabah secara haram sejak berusia 4 tahun lagi dan pernah diusir beberapa kali.

Tahun lepas, dia ditangkap semasa mengandung dan melahirkan bayinya di dalam tahanan.

The Rappler memetik DSWD sebagai berkata, jumlah individu diusir meningkat dari tahun ke tahun kerana ada warga Filipina yang kembali semula ke Malaysia tanpa dokumen sah sekalipun dengan campur tangan kerajaan Filipina.

Menurut Pejabat Luar DSWD di Semenanjung Zamboanga, ramai individu diusir baru-baru ini berharap mereka dapat kembali ke Sabah kerana keluarga mereka masih di sana, juga kesukaran mereka mendapat pekerjaan di Filipina.