‘Saya ada bukti penderaan seksual di rumah anak yatim kerajaan’

 

khairuPETALING JAYA: Seorang ketua NGO yang baru-baru ini mendedahkan dirinya pernah diliwat di sebuah rumah anak yatim kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, beliau mempunyai bukti mencukupi untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku disyaki itu.

Muhammad Khairul yang mengendalikan Pertubuhan Kebajikan dan Sosial (Perbak) berkata, pelaku itu ialah 2 beradik.

“NGO kami baru-baru ini menerima aduan penderaan seksual oleh salah seorang beradik itu beberapa bulan lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, si adik itu pernah bekerja di sebuah rumah kebajikan di Durian Daun, Melaka, manakala abang pula – yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan keluarga seorang Tan Sri terkenal di Melaka – didakwa melakukan penderaan seksual ke atas Khairul pada 2001 dan 2002.

“Abang itu biasanya melawat rumah anak yatim di mana adiknya ditempatkan atas alasan mahu jumpa adiknya. Dia kemudiannya akan mencari kanak-kanak lelaki ‘comel’ dan mengarahkan mereka melakukan perbuatan seksual kepadanya.

“Sebagai permulaan, dia akan memujuk saya dengan berjanji memberi hadiah sebagai pertukaran untuk perbuatan seksual. Dia kemudian mengugut saya mendiamkan diri dengan berkata, dia akan beritahu adiknya di rumah anak yatim itu yang saya nakal dan perlu dihantar ke pusat tahanan juvana,” kata Khairul sambil menambah perkara sama turut berlaku kepada kanak-kanak lelaki lain di rumah anak yatim itu.

Khairul berkata, susulan pengakuan mengenai penderaan yang dialaminya baru-baru ini, beliau menemui 2 beradik itu dan memaklumkan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa mereka.

“Dalam perbualan kami, salah seorang daripada mereka mengakui melakukan penderaan seksual.

“Dia malah tidak ingat berapa ramai kanak-kanak lelaki yang dideranya secara seksual apabila saya tanya dan berkata perkara yang dilakukannya hanya ‘ringan-ringan’.”

Beliau berkata, pelaku yang didakwanya mendera anak yatim secara seksual sekurang-kurangnya 17 tahun, menawarkan suapan supaya beliau tidak mendedahkan perkara itu.

Dengan bukti yang diperolehinya, Khairul berkata, beliau sudah membuat laporan polis dengan harapan penderaan seksual itu akan berakhir.

Katanya, tindakan perlu diambil terhadap penjenayah itu mengikut undang-undang demi kepentingan anak yatim yang mungkin berisiko menjadi mangsa, selagi 2 beradik itu bebas.

Khairul berkata, beliau sudah menemui JKM negeri minggu lalu dan dimaklumkan beberapa orang terbabit dalam penderaan anak yatim sudah dipindahkan.

“Tetapi, ini tak cukup baik. Mereka masih menjadi ancaman kepada anak yatim lain.”

Saya diliwat, dakwa presiden NGO