SPAD: Teksi perlu kreatif tarik penumpang, saingi Uber dan Grab

syed-hamidPETALING JAYA: Penyedia khidmat teksi perlu kreatif menarik penumpang untuk menggunakan perkhidmatan mereka, terutama ketika waktu puncak tanpa hanya mencetuskan kemarahan orang ramai dengan kata-kata negatif, nasihat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ramai penumpang kini memuji teksi selepas menyedari lebih murah untuk menggunakannya pada waktu puncak berbanding perkhidmatan Uber dan Grab.

“Uber dan Grab mengenakan caj tambahan yang boleh menjadi sangat mahal pada waktu puncak. (Jadi) mereka beralih kepada teksi. Mereka (syarikat teksi) perlu menggunakannya,” kata beliau kepada FMT.

Di bawah konsep perkhidmatan e-hailing penumpang membayar lebih semasa permintaan yang tinggi.

Sebagai contoh, apabila penumpang berada dalam talian, App memaparkan kawasan yang mempunyai permintaan tinggi dalam warna merah. Semakin tebal warn merah, lebih tinggi permintaan di kawasan terbabit.

Beliau mngulas kenyataan Penasihat The Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail pagi tadi yang mengkritik penumpang sebagai punca kepada perkembangan perkhidmatan perkongsian Uber dan Grab.

Justeru beliau mahu SPAD menghentikan permintaan yang membantu perkembangan Uber dan Grab.

“Penumpang Uber dan Grab yang merangsang perkhidmatan itu berkembang dan mereka setuju dengan denda yang dikenakan ke atas pelanggan. Cara ini menjadi satu galakan supaya rakyat bergantung kepada perkhidmatan tersebut.

“Jika tidak ada penumpang menghubungi mereka untuk perjalanan, mereka tidak akan beroperasi dengan agresif,” kata Shamsubahrin.

Beliau menyalahkan orang ramai yang mencetuskan “kucar-kacir” melibatkan perkhidmatan perkongsian perjalanan, SPAD dan industri teksi.

“Orang awam tahu Uber dan Grab salah dan mereka perlu mengikut undang-undang.”

Menjawab persoalan FMT, Syed Hamid memberitahu, tidak ada undang-undang untuk menghentikan penumpang daripada menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Grab dan Uber.

“Bagaimana kita boleh menyekat mereka menggunakan sistem perjalanan perkongsian? Bagaimana untuk mengawal tab yang menggunakan perkhidmatan? Bagaimana untuk mengawal tab yang memuat turun App?”

Malah kata Syed Hamid, kerajaan telah membentangkan pindaan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 yang bertujuan menghalalkan perkhidmatan e-hailing.

Shamsubahrin juga mendakwa pihak berkuasa di Singapura mengambil tindakan terhadap penumpang Grab dan Uber.

Kemarahan Shamsubahrin hari ini adalah yang terbaru dalam kecamannya yang panjang terhadap kedua-dua syarikat perkongsian kenderaan itu.

Beliau sebelum ini melabelkan pemandu Grab dan Uber sebagai “pemandu teksi haram” dan pada tahun lepas beliau mendakwa perkhidmatan itu akan “membunuh” industri teksi.

Beliau juga menyalahkan pengendali pusat membeli-belah dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang membenarkan atau menggalakkan kedua-dua syarikat itu beroperasi di kawasan mereka.

“Ini salah. Kami membuat banyak usaha dan pelaburan tetapi tindakan kami tidak diambil serius.”

Shamsubahrin menggesa SPAD tampil dengan peraturan baru ke atas pusat membeli-belah dan MAHB yang disifatkan sebagai “pemilik aset”, tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenai butiran peraturan itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/07/pengusaha-persoal-ketelusan-kerjasama-uber-dan-gabungan-teksi/