Atur perlawanan: Reman bookie disambung 5 hari

misc-mifaPUTRAJAYA: Reman seorang bookie disambung 5 hari bermula esok bagi membantu siasatan rasuah berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret di sini terhadap lelaki berusia 49 tahun itu yang sebelum ini direman 6 hari sejak 7 April lepas.

Bagaimanapun, 3 pemain kelab tersebut, termasuk seorang pemain import yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Ketiga-tiga suspek, 2 pemain tempatan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun serta pemain import Argentina berusia 29 tahun itu, direman 7 hari sejak 6 April lepas.

Semua suspek tiba di mahkamah pada 9.20 pagi ini dengan memakai baju lokap SPRM.

SPRM menahan bookie itu pada 5 April lalu selepas didakwa menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda 5 kali ganda nilai suapan dan penjara maksimum 20 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal sebelum ini mendapati pemain berkenaan menerima antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk mengatur perlawanan.

SPRM tahan 3 pemain disyaki atur perlawanan