Botox: Salon kecantikan degil diberi amaran

subra-botox

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengulangir amaran kepada pusat atau salon kecantikan supaya tidak menyediakan perkhidmatan suntikan Botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka dan bakal berdepan dengan tindakan penutupan serta-merta sekiranya masih berdegil.

“Kita sangat tegas dalam soal ini kerana tidak mahu orang ramai terus menjadi mangsa dan terpedaya dengan iklan dan testimoni yang melampau seperti memberikan kesan yang pantas atau dalam jangka masa singkat,” kata Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Bahagian Penguat kuasa Farmasi merampas pelbagai jenis produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang tidak berdaftar bernilai RM779,663 dalam Ops Kosmetik semalam.

Operasi itu meliputi pemeriksaan ke atas 66 buah salun kecantikan, spa, klinik estetik, klinik perubatan, pengedar/pemborong, kiosk kosmetik dan rumah kediaman di seluruh negara.

Antara produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang dirampas ialah suntikan botox, vitamin C, glutathione, placenta dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Beliau juga berkata, sebanyak 14,200 produk kosmetik yang tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta dirampas dari 2015 hingga Februari tahun ini.

“Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada kementerian sebelum produk tersebut boleh dikilang, diimport, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Akhir bulan lalu, beliau memberi amaran kepada pusat atau salon kecantikan supaya tidak menyediakan perkhidmatan suntikan Botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka.

Katanya, prosedur kecantikan itu diklasifikasikan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebagai sejenis ubat dan penggunaannya perlu dikendalikan pengamal perubatan berdaftar yang terlatih.

Dari sudut perundangan, pusat kecantikan atau salon hanya boleh menjalankan rawatan kecantikan untuk di bahagian luar kulit atau luaran badan, sebaliknya Botox adalah sejenis produk yang perlu disuntik ke dalam kulit.

Hari ini, beliau berkata sistem notifikasi kosmetik di Malaysia diamalkan selaras dengan Sistem Harmonisasi Regulatori Kosmetik yang dilaksanakan di semua negara ASEAN dan negara Kesatuan Eropah.

Sehingga Februari, sebanyak 153,700 produk kosmetik telah bernotifikasi dengan kementerian.

Beliau juga berkata sejumlah 47 produk kosmetik dibatalkan atas isu campur palsu dengan bahan terlarang seperti hydroquinone, tretinoin dan merkuri dari tahun 2013 hingga April ini.

Tindakan punitif seperti pembatalan notifikasi dan arahan panggil balik produk daripada pasaran akan dikenakan ke atas produk yang tidak mematuhi keperluan regulatori yang tetapkan, kata Subramaniam.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/22/tak-boleh-suntik-botox-di-salon-kecantikan-kata-menteri/