Firma infrastruktur IT: Menara telekomunikasi kami selamat

sacofaKUCHING: Sebuah syarikat infrastruktur ICT, Sacofa Sdn Bhd (Sacofa) menafikan menara telekomunikasinya menjejaskan kesihatan orang ramai dan pembinaannya tiada kena-mengena dengan pengambilan tanah penduduk.

Pengarah Urusannya, Mohamed Zaid Zaini memberitahu The Borneo Post, menara telekomunikasi memancarkan radiasi frekuensi radio (RF), tetapi menara Sacofa beroperasi pada frekuensi sangat rendah dan tidak berbahaya kepada manusia.

“Pelepasan RF itu sama sekali tidak berbahaya seperti yang dipancarkan radio, lampu dan televisyen.”

Beliau berkata, ujian radiasi terbaru dilakukan di Taman Harmoni menunjukkan menara Sacofa di Sibu beroperasi 790 kali lebih baik daripada piawaian perlindungan sinaran tidak berion yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan diterima pakai sebagai standard mandatori oleh Kementerian Kesihatan.

Zaid berkata demikian dalam sesi bertemu media untuk menjelaskan salah faham berhubung menara telekomunikasi yang dibina Sacofa di sebuah hotel semalam.

“Menara kami dibina mengikut standard dan spesifikasi tinggi Malaysia serta antarabangsa. Rating pelepasan kami jauh lebih baik daripada standard paling ketat global. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami,” katany dipetik The Borneo Post sebagai berkata tidak benar menara telekomunikasi meningkatkan panahan kilat.

“Kajian menunjukkan lebih ramai pemancing, orang berkhemah atau menaiki bot di tasik dipanah petir.

“Rod dan penangkap kilat yang digunakan Sacofa membantu mengurangkan risiko panahan petir dan memberi lebih perlindungan.”

Mengenai lokasi menara telekomunikasi yang hangat diperdebatkan di Sarawak, Zaid berkata, menara itu dikenal pasti berdasarkan permintaan jalur lebar semasa dan akan datang di kawasan terbabit serta tanah yang ada.

Dakwaan Sacofa merampas tanah untuk membina menara itu bertentangan kehendak masyarakat setempat, beliau berkata, Sacofa tidak mempunyai simpanan tanah dan tanah itu disediakan kerajaan negeri.

“Pengambilalihan tanah dilakukan kerajaan negeri, bukannya Sacofa. Kami ialah pemilik teknologi infra bukan pemilik tanah.

“Notis diberikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau kerajaan negeri atau oleh syarikat telekomunikasi. Sacofa tidak menentukan lokasinya. Kriteria ketat diguna pakai sebelum pembinaan menara telekomunikasi dibenarkan,” katanya.

Kalau selamat, bina menara di rumah menteri, kata DAP