Juruterbang Malaysia didapati bersalah rogol wanita di Australia

alfred-1PETALING JAYA: Seorang juruterbang Malaysia didapati bersalah merogol seorang wanita lebih 20 tahun lalu di Perth, Australia, lapor Australian Associated Press (AAP).

Menurut fakta kes, Alfred Gerard Eravelly yang kini berusia 50 tahun, memecah masuk ke rumah mangsa di Scarborough pada awal pagi 9 Mac 1996 dengan memotong skrin lalat pada tingkap bilik mandi.

Dia yang memakai sarung kaki di kepalanya, bertindak mengikat mangsa sebelum menyerang dan merogolnya berkali-kali dengan mengacukan pisau.

Polis Perth mengenal pasti dia berdasarkan bukti DNA yang hanya dianalisis kemudian, tetapi akhirnya membawa kepada penangkapannya.

Eravelly ditahan sejurus dia terbang ke Australia dan mendarat di Sydney pada Februari 2016, 20 tahun selepas dia meninggalkan negara itu.

Menurut laporan AAP, Eravelly berdepan 5 pertuduhan penembusan seksual teruk tanpa persetujuan, masing-masing 1 dakwaan pecah rumah, penahanan salah dan mendatangkan kecederaan.

Ketika perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah Eravelly tinggal kurang 2km dari rumah mangsa dan merupakan pelajar penerbangan ketika itu.

Menurut AAP, dalam pembelaannya, Eravelly memberitahu detektif dia keluar dengan wanita itu dan mengikat mangsa sebagai sebahagian daripada hubungan seksual suka sama suka.

Dia turut mendedahkan mempunyai fantasi memecah masuk ke rumah dan merogol wanita, tetapi tidak menikmati fantasi itu.

Bagaimanapun, ketika perbicaraan diadakan, peguam Eravelly berkata, bapa kepada 2 anak itu menjalin hubungan seksual sukarela singkat dengan wanita itu selepas menemui beliau di bar.

Hubungan itu bertukar apabila dia cuba memeras ugut wanita itu dengan mengancam aka memberitahu teman lelakinya mengenai hubungan mereka, lapor AAP.

Perbicaraan 6 hari di Mahkamah Daerah Australia Barat menyaksikan Eravelly disabitkan atas semua pertuduhan dengan hukuman akan diumumkan pada 22 Jun nanti.