Ketua Abu Sayyaf dalam video penggal tebusan disahkan terbunuh

Abu-Rami-Abu-Sayyaf

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Abu Sayyaf yang dipercayai muncul dalam video memenggal rakyat Sarawak, Bernard Then disahkan maut di tengah Filipina.

Menurut laporan The Star, kematian Muamar Askali @ Abu Rami disahkan Ketua Bahagian Risikan Pejabat Polis Central Visayas, Jonathan Cabal.

Abu Rami adalah seorang daripada 5 lelaki bersenjata yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di Bohol semalam, kata laporan itu.

Beliau dipercayai antara pemimpin Abu Sayyaf yang boleh berbahasa Inggeris.

Menurut laporan akhbar itu, dia biasanya mengeluarkan amaran terakhir dalam rakaman video pelaksanaan hukuman ke atas tebusan, termasuk dalam kes Then.

Then ialah tebusan Malaysia pertama dipenggal kumpulan pengganas Abu Sayyaf pada 17 November 2015.

Selain militan, 3 anggota tentera dan seorang anggota polis dilaporkan turut terbunuh dalam pertempuran itu.