Khalid larang Dr Mahathir-Nazri debat dalam dewan polis

ipgKUALA LUMPUR: Ketua polis negara melarang Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz mengadakan debat di dalam maktab polis.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebarang debat hanya boleh dilakukan di Parlimen, bukannya di tempat lain seperti dicadangkan menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

“Saya tidak akan benarkan, mana (boleh) nak buat debat di balai polis. Balai polis bukan tempat untuk berdebat. Saya hendak nasihatkan orang yang hendak berdebat, lakukanlah di Parlimen, bukannya di padang, rumah orang dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Pada 3 April lalu, Nazri yang geram dengan tindakan polis menyebabkan debat beliau dan bekas perdana menteri tergendala sebanyak 2 kali, mencadangkan debat itu dilakukan di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras.

Auditorium Perdana Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Maktab PDRM mempunyai 2 aras yang boleh memuatkan 728 orang pada satu masa, selain berhawa dingin dan dilengkapi peralatan audio visual, lampu pentas, paparan video, komputer berinternet serta teknologi sidang video.

Lokasi itu turut dihubungkan Lebuhraya Cheras-Kajang dan berhampiran pangkalan Pasukan Gerakan Am.

Debat Dr Mahathir dan Nazri pada mulanya dijadualkan berlangsung di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kuala Kangsar, pada 25 Mac lalu, sebelum dibatalkan polis atas faktor permohonan penganjur tidak menepati Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ia disusuli permit debat untuk 7 April di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, dibatalkan dengan alasan polis menerima 18 laporan membantah acara itu atas faktor keselamatan dan risikan polis mendapati ada pihak tertentu merancang menimbulkan kekacauan.

Nazri: Senang cerita, kita debat dalam dewan polis

Polis batal permit, debat Mahathir-Nazri tak jadi