Mana penyata kewangan KTMB untuk 5 tahun, soal Dzulkefly

dr-dzulkefly-ahmad1PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak patut menyembunyikan perbelanjaan daripada peruntukan yang diberikan kerajaan dari 2013 hingga 2017, kata pengarah strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata semakan di laman web rasmi KTMB mendapati penyata kewangan 2013 hingga 2017 seolah-olah “hilang” kerana yang ada hanyalah penyata 2012.

“Saya khuatir laporan tahunan 2013 hingga 2016 itu tidak dipaparkan kerana KTMB menyembunyikan masalah berkaitan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2013, kerajaan memperuntukkan RM3.25 bilion, diikuti RM2.17 bilion (2014), RM2.15 bilion (2015), RM1.76 bilion (2016) dan RM2.36 bilion pada tahun ini.

Ia bermakna kerajaan memperuntukkan RM11.69 bilion dalam tempoh 5 tahun.

Dzulkefly berkata, KTMB patut mendedahkan projek yang dibangunkan kepada orang ramai selepas menerima peruntukan kerajaan setiap tahun.

“Secara purata RM2 bilion peruntukan diberikan kepada KTMB melalui program ‘meningkatkan keupayaan KTMB’ yang disenaraikan dalam bajet tahunan kerajaan persekutuan,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini beliau tidak yakin dengan prestasi KTMB dalam memberikan perkhidmatan memuaskan.

“Orang ramai masih mengkritik keupayaan KTMB sebagai pengangkutan awam yang efisyen kerana masalah utama masih berlaku.

“Ketibaan tren tidak mengikut jadual, sistem tiket tidak berfungsi dengan baik dan tahap kebersihan kurang memuaskan.

“Keadaan ini menyebabkan saya ragu ke mana peruntukan ‘meningkatkan keupayaan KTMB’ dibelanjakan?

“Ini tidak termasuk harga tiket meningkat pada akhir 2015 dan kerugian dihadapi KTMB sebanyak RM30 juta pada 2015,” katanya.

Sebelum ini di Parlimen, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi memberi jaminan pekerja KTMB yang terlibat dengan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) tidak akan kehilangan pekerjaan.

Sebaliknya Aziz berjanji mereka akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB sekaligus segala faedah, gaji dan apa-apa kelebihan sebagai pekerja KTMB tidak akan hilang atau berkurang.

Pekerja KTMB tidak akan hilang pekerjaan

Jaminan ‘mulut’ tak sah tanpa hitam putih, kata kesatuan pekerja KTMB

Tags: