Media perlu berhati-hati, kata Khalid selepas protes kartun monyet

nan-yang
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara hari ini menasihatkan media lebih sensitif supaya memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengulas protes yang diadakan semalam oleh penyokong PAS dan Umno yang mahu tindakan diambil ke atas akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, susulan penerbitan kartun yang mempersendakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Janganlah buat apa-apa bentuk penulisan yang menimbulkan kegusaran agama, dan masyarakat berbilang bangsa, kena hati-hati,” kata Khalid.

Beliau ditanya mengenai peringatan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof semalam, supaya media mengambil iktibar daripada peristiwa pembunuhan 12 kakitangan di pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris 2 tahun lalu, susulan penerbitan kartun mempersendakan Nabi Muhammad.

“Saya tidak mahu hendak kaitkan dengan Charlie Hebdo, tetapi saya hendak nasihatkan semua pihak, rakan-rakan media, kita hidup berbilang agama dan bangsa,” kata Khalid, yang memberitahu polis menerima sebanyak 20 laporan polis terhadap akhbar Nanyang Siang Pau.

Kartun Nanyang Siang Pau memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Pandikar menangguhkan sidang sebelum memberikan ruang RUU itu dibahaskan.

Nanyang Siang Pau sudah pun memohon maaf, tetapi berkata ia akan sekali lagi membuat permohonan maaf secara langsung kepada Hadi dan Pandikar.

Semalam, penyokong Umno dan PAS yang mengadakan demonstrasi terhadap akhbar itu menyeru supaya permit penerbitannya dibatalkan.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri semalam memberikan tempoh 3 hari kepada pengurusan Nanyang Siang Pau menjawab surat tunjuk sebab.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/11/kdn-beri-nanyang-surat-tunjuk-sebab-panggil-ketua-pengarang/

tags;