NGO gesa Jais siasat status agama pasangan VIP

jais-scamSHAH ALAM: Sekumpulan NGO Melayu hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat status agama pasangan suami isteri bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang didakwa menggunakan Islam untuk menipu pelaburan melibatkan jutaan ringgit.

Wakil Biro Aduan Masyarakat Malaysia (BAMM) bersama 2 lagi meminta siasatan itu dilakukan selepas menerima banyak aduan berhubung laporan media dan penyebaran video di media sosial melibatkan 2 individu didakwa menipu puluhan juta ringgit.

“Kami kemuka aduan kepada Jais untuk menyiasat individu yang menggunakan Islam menipu untuk kepentingan peribadi.

“Perkara ini serius dan kita tak boleh kompromi dalam perkara agama jika berlaku kekeliruan status agama.

“Kita tidak tahu agama anutannya. Sekejap dia mengaku Islam, sekejap mengaku Hindu,” kata Naib Pengerusi BAMM, Nazilah Idris yang hadir di pejabat Jais bersama wakil Perkasa Selangor dan Pertubuhan Waris Malaya.

Beliau mengulas dakwaan pasangan suami isteri VIP dikenali sebagai Datuk Seri ‘G’ dan isterinya menggunakan Islam untuk menipu dan menghina agama Islam.

Ahad lepas, sekumpulan 700 pelabur termasuk bekas bendahari agung MIC Datuk R Ramanan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Bekas pemimpin MIC itu mendakwa seorang “Datuk Seri” dan isterinya memiliki sebuah syarikat tukaran asing memeluk agama Islam pada 2013 dalam usaha meyakinkan pelabur Islam melabur wang mereka ke dalam syarikat mereka.

Klip video tersebar di media sosial baru-baru ini menunjukkan pasangan itu melakukan lafaz syahadah dibantu seseorang.

Akhir bulan lalu, polis menahan 6 suspek berusia antara 28 dan 38, selama 21 hari di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (Poca) berkaitan serbuan ke atas syarikat itu.

Ia selepas syarikat forex itu ditumpaskan Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 28 Mac lalu.

Kira-kira 20,000 pelabur dilaporkan telah melabur sekurang-kurangnya RM2,000 setiap seorang di syarikat forex yang menjanjikan pulangan harian, katanya.

Nazilah berkata, BAMM mahu Jais mengambil serius perkara ini supaya pihak terbabit diambil tindakan sewajarnya selaras dengan bidang kuasa dimiliki Jais.

“Dalam laporan kami kepada Jais tadi, mereka memaklumkan akan ambil tindakan sesuai mengikut kuasa mereka sekiranya pasangan itu bersalah,” kata beliau.

‘Datuk Seri’ masuk Islam tarik pelabur Islam, kata bekas bendahari MIC