Norza, Al-Amin masih bincang ‘gentlemen’s agreement’

Datuk-Seri-Mohamad-Norza-Zakaria

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta agar beliau dan Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid diberi ruang secukupnya dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung ‘gentlemen’s agreement’ untuk jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Presiden BAM itu memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Mohamed Al-Amin yang merupakan pemangku presiden BAM berhubung isu berkenaan sebelum mesyuarat agung tahunan BAM yang dijangka diadakan akhir bulan ini.

“Setakat ini, tiada apa-apa perkembangan lagi dan sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, bagi tempoh kepada saya dan Al-Amin untuk mencari penyelesaian (terbaik),” katanya.

Dipetik Bernama, Mohamad Norza yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Anggota Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini.

Sebelum ini, Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor mengakui memang wujud ‘gentlemen’s agreement’ membabitkan persaingan jawatan presiden badan indk itu.

Bagaimanapun isteri Perdana Menteri itu berkata, terpulang kepada pihak yang terbabit untuk memenuhi perjanjian berkenaan.

“Gentlemen’s agreement itu memang ada tetapi sama ada pihak-pihak tertentu ingin memenuhinya, itu terpulang kepada mereka.”

“Pada saya, itu saya serahkan kepada kesedaran mereka sendiri,” kata beliau.

Laporan media sebelum ini menyebut Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff ada memaklumkan mengenai ‘gentlemen’s agreement’ yang dibuat antara pemimpin tertinggi badan persatuan itu.

Selain menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan presiden, Tengku Mahaleel turut memaklumkan ‘gentlemen’s agreement’ itu adalah memberi laluan kepada Norza untuk menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun Mohamed Al Amin yang turut berminat menduduki kerusi nombor satu badan induk itu menafikan beliau terbabit dengan ‘gentlemen’s agreement’ berkenaan.