PAS pusat digesa nyata pendirian syor kerajaan perpaduan dengan Umno

rafizi-umno-pas

PETALING JAYA: Rafizi Ramli menggesa PAS pusat menyatakan pendiriannya susulan pandangan Pesuruhjaya Perak, Razman Zakaria yang ingin melihat parti itu dan Umno menubuhkan “kerajaan Islam Melayu nusantara” selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib presiden PKR berkata, beliau mahu PAS menyatakan pendirian jika benar parti itu mempunyai strategi untuk bekerjasama dengan Umno sama ada secara terang-terangan atau halus.

“Maka berterus-teranglah kepada rakyat dan PKR supaya mudah untuk rakyat menghakimi parti-parti politik di peti undi nanti.”

Katanya, jika PAS langsung tidak berniat sedemikian dan perkongsian pesuruhjaya PAS Perak itu hanya strategi peribadi, maka wajarlah beliau diambil tindakan segera “kerana angan-angan itu boleh mendatangkan fitnah yang besar kepada PAS.”

Laporan media memetik pandangan Razman menerusi Facebook sebagai berkata, kerajaan Malaysia selepas PRU14 akan terdiri daripada 80 ahli Parlimen PAS, 40 dari Umno dan 45 lagi wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Menerusi satu kenyataan media, Rafizi berkata, perkongsian di status Facebook oleh Razman pada hari ini menimbulkan suasana mendesak supaya kepimpinan PAS pusat membuat pendirian rasmi mengenai perkara ini:

Kata Rafizi, beliau menerima banyak panggilan sejak pagi tadi mengenai penyataan Razman yang menurutnya “diketahui rapat dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.”

“Perkongsian itu sudah tentu menimbulkan keresahan kerana ia mengiyakan kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa ada anasir dalam kepimpinan PAS sekarang yang masih berangan-angan untuk bergabung dengan Umno (sama ada secara langsung atau melalui muslihat halus) dan mengambil alih Putrajaya melalui kerjasama sulit ini.”

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, pandangan Razman kelihatan selari dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini yang mengatakan pihaknya akan bertanding di 80 kerusi Parlimen.

Kata beliau, apabila ditambah dengan ucapan Hadi sendiri sebelum ini yang menjadi tular tentang keinginan PAS untuk menguasai 5 buah negeri dan “membenarkan” Umno berkuasa di negeri-negeri lain, kepimpinan PAS tidak lagi boleh membuat tidak endah kerisauan rakyat mengenai sikapnya kepada Umno.

“Jika perkongsian mengenai penggabungan PAS dan Umno itu ditulis oleh seorang ketua cawangan PAS, ia tidaklah sangat dihiraukan kerana ia mungkin pandangan picisan.

“Namun, apabila ia dikongsi secara terbuka oleh seorang pesuruhjaya di negeri penting yang ingin dikuasai oleh PAS seperti yang diumumkan oleh presiden PAS sendiri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menimbulkan perkara ini supaya ada jawapan yang jelas dari pimpinan PAS pusat.”

Oleh itu, kata Rafizi, beliau secara terbuka tampil dengan peringatan kepada Hadi mengenai dana 1MDB yang mengalir dari akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada seorang tokoh bekas pimpinan kanan PAS yang dilihat membawa agenda kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno sejak bertahun-tahun lamanya.