Peter Chong tak hilang, dia di Thailand, kata polis

igpKUALA LUMPUR: Aktivis sosial Peter Chong tidak diculik, sebaliknya beliau dikesan menaiki bas ke Thailand minggu lalu, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis berjaya mengesan rakaman gambar Chong menaiki bas melalui sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah pada jam 6.30 pagi, 7 April lalu.

“Saya melihat ditularkan kononnya 5 orang sudah diculik. Saya ingin beri amaran kepada mereka yang cuba kelirukan orang ramai. Ini tidak benar, daripada 5 orang ini, hanya seorang sahaja yang dikesan diculik.

“Peter Chong kita kesan menyeberangi Thailand pada 6.30 pagi 7 haribulan. Kita dapat gambar dia di sempadan Bukit Kayu Hitam menaiki bas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Anaknya, Darryl Chong membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya pada 8 April lalu selepas usaha menghubunginya gagal. Kes Chong kemudiannya diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.

Chong yang juga bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, kali terakhir dilihat pada 5 April lalu, ketika meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pada 31 Mac lalu, Chong menerusi kiriman Facebook mendakwa beliau didekati individu tidak dikenali yang memberi peringatan supaya “berhati-hati” di sebalik kes orang hilang.

Ia menimbulkan tanda tanya di sebalik kehilangan beberapa aktivis sebelum ini, termasuk Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka.

Khalid berkata, beliau tidak tahu apakah niat Chong pergi ke Thailand tanpa memaklumkan keluarganya, tetapi polis tidak akan bertolak ansur sekiranya mendapati beliau sengaja menimbulkan kegusaran orang ramai.

“Saya tidak tahu apa niatnya di sana, apa tujuannya dan buat seolah-olah dia hilang. Saya beri amaran jangan kelirukan orang ramai. Bersiap sedialah dengan tindakan kita, kalau dia sengaja timbulkan keadaan yang mengelirukan kita.

“Kita tidak tahu dia lari dari hutang atau apa, dan sehingga kini belum ada rekod lagi yang dia masuk balik (ke Malaysia),” katanya yang berharap Chong akan menghubungi keluarganya bagi memaklumkan keadaannya supaya mereka tidak bimbang.

Sementara itu, Khalid berkata, polis masih menyiasat kehilangan Koh dan tidak akan memberi sebarang perkembangan kes individu hilang atau diculik.

“Memang ada beberapa laporan kita terima Pastor Koh terlibat dalam mengkristiankan budak-budak Melayu. Ada beberapa laporan yang kita terima dan ada beberapa pihak yang sedia datang kepada kita meminta jaminan keselamatan,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/10/polis-tubuh-pasukan-petugas-siasat-kehilangan-peter-chong/