RON95 dan diesel naik 8 sen, RON97 9 sen

petrol_600

PETALING JAYA: Pelaksanaan harga minyak mingguan buat minggu ketiga menyaksikan kenaikan buat kali kedua berturut-turut selepas turun pada minggu yang pertama.

Berdasarkan harga terbaharu yang diumumkan hari ini, RON95 dan diesel mengalami kenaikan 8 sen seliter manakala RON97 pula 9 sen.

Dengan peningkatan itu, RON95 akan dijual pada kadar RM2.24 seliter dan RON97 RM2.52 seliter. Pada minggu lalu, kedua-duanya dijual RM2.16 dan RM2.43 seliter.

Diesel akan dijual RM2.16 seliter.

Harga terbaru ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini selama seminggu sehingga 19 April.

Perubahan harga dipaparkan menerusi Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini.

Harga petrol dan diesel mengalami penurunan harga bagi minggu pertama mengikut kaedah pengapungan terkawal secara mingguan.

RON 97 turun daripada RM2.60 kepada RM2.41 iaitu turun sebanyak 19 sen manakala RON 95 pula turun 17 sen daripada RM2.30 kepada RM2.13. Diesel juga mengalami penurunan iaitu sebanyak 9 sen iaitu harga sebelum adalah RM2.20 dan terkini adalah RM2.11.

Bagaimanapun ia mengalami peningkatan minggu lalu.

Sebelum ini, kerajaan berkata kaedah yang baharu ini akan memberi kesan lebih baik kerana pengguna kerana tempoh pengiraan purata kos produk petroleum siap diproses dan kadar tukaran mata wang asing semakin pendek iaitu selama tujuh hari.

Oleh itu, kadar turun naik perubahan harga akan bertindak balas lebih cepat selaras dengan harga minyak yang diproses di pasaran global.

Penetapan harga baharu ini akan diumumkan setiap hari Rabu.

Bagi pengiraan pada minggu-minggu berikutnya akan menggunakan purata kos produk petroleum yang siap diproses dan kadar tukarang wang bagi tempoh seminggu.