Sebutan semula kes bunuh Jong Nam esok

jong-nam

KUALA LUMPUR: Dua warga asing yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol atau Kim Jong Nam akan sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sepang esok.

Kes berprofil tinggi itu ditetapkan untuk sebutan semula esok bagi pihak pendakwa raya dan peguam bela kedua-dua tertuduh memberi taklimat kepada mahkamah berhubung perkembangannya.

Pada 1 Mac, warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Kim Chol, 45, bersama-sama 4 lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari tahun ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dilaporkan Jong Nam berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila 2 wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.