Ugut ibu kandung, pekerja kedai tayar menangis di mahkamah

knife-court

KUALA LUMPUR: “Saya bergaduh dengan adik saya, mak saya masuk campur,” kata tertuduh, Muhammad Ali Abdul Sathar, pekerja kedai tayar, ketika menjawab pertanyaan majistret.

Majistret Mahyudin Mohmad Som bertanyakan Muhammad Ali, 33, mengapa dia melakukan khianat dan mengugut dengan mengacukan pisau kepada ibunya Khadijah Ratnama Abdullah, 58.

Muhammad Ali juga dituduh merempuh kereta dan merosakkan pagar rumah ibunya.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, dan bila dijatuhi hukuman, lantas merayu.

“Saya mempunyai seorang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja, saya minta maaf dengan apa yang berlaku,” katanya sambil menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau 9 bulan penjara ke atas Muhammad Ali bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Denda RM2,000 atau 4 bulan penjara kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, dan denda RM3,000 atau 5 bulan penjara kerana merempuh kereta dan merosakkan pagar rumah mangsa.

Tertuduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Marmar 1, Taman Melewar Setapak, Wangsa Maju di sini, pada 10 malam, 1 Mac lepas.

Muhammad Ali dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 7 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya dan Seksyen 427 Kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.