Wanita ditahan hina Sultan Johor di Facebook

Wan-Ahmad-Najmuddin-arrestJOHOR BAHRU: Seorang wanita ditahan malam tadi selepas memuat naik satu kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan institusi diraja Johor melalui Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, polis Johor menerima satu laporan mengenai kejadian berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari, 9 April lalu.

“Bertindak daripada laporan tersebut, satu kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu dipercayai memuat naik kenyataan jelik berkenaan.

“Hasilnya, pada 11.30 malam tadi, polis menahan seorang wanita berumur 48 tahun di Brickfields, Kuala Lumpur dipercayai individu bertanggungjawab memuat naik kenyataan jelik tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit yang merupakan seorang ahli perniagaan kini direman sehingga 14 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis Johor tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu didapati menyalahgunakan laman sosial dengan mengeluarkan kenyataan palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut serta mengganggu orang lain.